Gunalah Laman sosial Dengan Kebaikan
Artikel:jariyangmenari.blogspot.com
Dipetik dari: http://ana-pendidikan.blogspot.com
Memang tidak dapat dinafikan penggunaan laman web sosial seperti facebook, twitter, myfriends2u, dan lain-lain semakin meluas di seluruh dunia termasuk juga Malaysia. Laman web sosial digunakan ramai untuk pelbagai tujuan seperti berhubung dengan rakan, mencari kawan lama, mencari kawan baru, memasarkan barangan, melebarkan rangkaian kenalan dan lain-lain lagi.
Tidak hairanlah juka ditanya, pasti ramai baik yang bergelar pelajar, pekerja serta suri rumah mengakui 'melekat' di komputer malayari laman web berkaitan saban hari. Lebih parah lagi jika mereka ketagih permainan komputer secara online di laman tersebut.
Dipetik daripada akhbar Berita Minggu (Ahad, 19 September 2010):
Pakar otak terkemuka Britain, Susan Greenfield yang juga merupakan pensyarah Universiti Oxford menyatakan bahawa ketagihan internet boleh merubah otak dengan menjejaskan tumpuan dan mengurangkan aspek kepantasan reaksi dan empati. Individu boleh menjadi seorang yang dingin, tidak peka atau sensitif terhadap orang lain kerana fungsi otak mereka sudah berubah kerana terlalu asyik dengan komputer.
Penggunaan laman web sosial juga mengurangkan interaksi secara bersemuka dan mengurangkan kemahiran sosial. Mungkinkah ini juga penyebab ramai graduan Malaysia sukar mendapat pekerjaan kerana salah satu faktor yang dikenalpasti oleh Kementerian Sumber Manusia ialah kurangnya kemahiran sosial dalam kalangan graduan di Malaysia. Terdapat juga pernyataan yang mengatakan laman web sosial boleh menyebabkan institusi kekeluargaan runtuh disebabkan semua ahli keluarga lebih suka berkomunikasi dengan rakan di alam maya berbanding keluarga sendiri.
Namun, di sebalik pelbagai kelemahan laman web sosial tersebut, ia juga banyak memberikan kelebihan kepada penggunanya. Contohnya, terdapat individu yang mengaut keuntungan berpuluh-ribu dengan berniaga melalui laman tersebut. Tanpa perlu membayar sewa kedai, mempunyai lesen perniagaan dan lain-lain bil, mereka boleh memasarkan barangan dengan meluas.
Laman web sosial juga boleh digunakan oleh pendidik untuk berhubung dengan pendidik di tempat lain untuk bertukar-tukar pandangan dan boleh juga digunakan bersama pelajar mereka bagi menyampaikan maklumat dan bahan pengajaran berguna.
Satu lagi cara baru penggunaan laman web sosial seperti facebook ialah boleh digunakan oleh penyelidik untuk mengumpul data kajian melalui temuramah secara maya. Walaupun cara berkenaan belum dikatakan sah untuk membuat kajian, ia adalah satu cara alternatif yang boleh difikirkan.
Setiap benda di dunia ini pasti mempunyai kelebihan dan kelemahan. Maka, penggunaan laman web sosial ini boleh menjadi sesuatu yang positif mahupun sebaliknya bergantung kepada si pengguna. Gunakanlah kemajuan ICT ini dengan cara yang betul agar kita menjadi manusia yang bijaksana.
Artikel:jariyangmenari.blogspot.com