Sunday, December 25, 2011

Tinggal solat kerana tertidur tak dikira cuai


Persoalan Agama: Tinggal solat kerana tertidur tak dikira cuai
Bersama Ustaz Zahazan Mohamed
BHOnline,Ruangan Agama 2011/05/08

Apa yang perlu saya lakukan sekiranya saya terlambat bangun untuk sembahyang Subuh?
AHMAD,
Rawang, Selangor. 

AL-HAMDULILLAH wassolatuwas salam ‘ala Rasulillah.

Allah SWT berfirman dalam surah an-Nisa’ ayat 103 yang bermaksud: “Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan ke atas orang yang beriman yang tertentu waktunya.” 

Jika saudara tertidur sehingga keluar waktu solat Subuh, maka saudara hendaklah segera bersiap-siap untuk mengqada solat Subuh. Jika tertinggal solat Zuhur umpamanya, dan dia sedar pada waktu Asar, maka hendaklah ia segera qadhanya pada waktu Asar.

Mengqada solat adalah wajib, manakala menyegerakannya adalah sunat seperti satu hadis yang diriwayatkan Muslim, daripada


Anas bin Malik ra, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila tidur salah seorang kamu sehingga meninggalkan solat atau terlupa daripadanya, maka hendaklah ia segera solat apabila ia teringat kerana Allah SWT berfirman: “Dirikanlah kamu akan solat untuk mengingati-Ku.” 

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abi Qatadah, beliau berkata: “Mereka menyebut kepada Nabi SAW tentang tidur mereka sehingga terlepas waktu solat. Maka Baginda bersabda: Tidaklah sebab tidur dikira kecuaian. Kecuaian itu hanya dikira sekiranya dalam keadaan jaga. Maka apabila salah seorang kamu lupa sembahyang, atau tidur lena sehingga meninggalkan sembahyang, maka hendaklah ia sembahyang apabila dia ingat.” 

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim bahawasanya Saidina Umar datang pada Hari Khandaq, sesudah terbenamnya matahari, yang mana dia mencaci orang kafir Quraisy seraya beliau berkata: “Wahai Rasulullah, aku hampir tidak solat Asar, sehingga hampir matahari masuk (terbenam).  Maka Nabi SAW menjawab: Demi Allah aku pun belum sembahyang. Maka Baginda berwuduk dan kami pun berwuduk. Maka Baginda sembahyang Asar sesudah matahari masuk (terbenam), kemudian Baginda mengerjakan sembahyang Maghrib sesudahnya.

Demikianlah, Wallahua’lam. 

Artikel:jariyangmenari.blogspot.com

0 ulasan:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Grants For Single Moms