Nikmat di sebalik seronok kerja
BHOnline:Ruangan Agama 2011/12/31
Ikhlas laksana tugas boleh bentuk organisasi cemerlang KESERONOKAN bekerja ialah gambaran menunjukkan kegembiraan, keceriaan, keinginan tinggi atau sekurang-kurangnya keselesaan melaksanakan tugasan seharian. Ia adalah perasaan hebat serta mampu menyumbang pencapaian yang tinggi.
Namun, seseorang pekerja tidaklah selama-lamanya berada dalam keadaan seronok kerana menjadi tabiat manusia tidak lekang mengalami pelbagai perasaan berlawanan seperti bosan, malas dan sebagainya. Perasaan ini dialami ekoran pelbagai faktor dalaman dan luaran atau persekitaran organisasi.
Ada yang tidak seronok bekerja kerana faktor kesesakan, jarak antara rumah dan tempat kerja, beban tugas berat, arahan kerja tidak jelas dan di luar kemampuan, keputusan tidak disepakati, masalah kesihatan, masalah dengan rakan sejawat dan majikan, tiada jaminan kerja, kebajikan, keselamatan, imbuhan dan penghargaan yang tidak setimpal dan macam-macam lagi.
Hakikatnya, ia tidak semudah ungkapan. Kerana itu rungutan, aduan dan perselisihan menjadi asam garam di tempat kerja. Namun, menurut Syeikh al-Buti perasaan berubah-ubah dan pelbagai itu mempunyai hikmah besar dalam mendekatkan diri hamba kepada Penciptanya serta saling melengkapi.
Ertinya, keseronokan tidak akan benar-benar dirasai kecuali mengalami kejemuan, kesusahan, kepenatan dengan tabah serta berjaya diatasi dengan baik.
Sifat itu pula menyebabkan seseorang dekat kepada Allah SWT. Justeru, bagi yang beriman, kedua-dua sifat seronok dan lawannya itu memberi faedah tersirat mahupun tersurat jika dikemudi dengan baik.
Walau bagaimanapun keseronokan bekerja perlu diusahakan demi kejayaan. Pelbagai cara perlu dilakukan oleh kedua-dua pihak, pekerja dan majikan. Antaranya pertama, membugarkan perasaan syukur terhadap nikmat pekerjaan yang dimiliki.
Mengingatkan sentiasa mengenai betapa beruntungnya kita dengan nikmat ini mampu menyuburkan rasa syukur dan bertanggungjawab dalam diri pekerja.
Perasaan ini walau bagaimanapun selalu dirasai apabila ia hilang daripada genggaman seperti tidak berupaya bekerja, tiada peluang bekerja disebabkan kemiskinan dan huru-hara dalam negara, dibuang kerja atau diturunkan pangkat.
Pada ketika itu seseorang akan merasai besarnya nikmat bekerja.
Syair Arab bermaksud: “Syukur itu mengikat nikmat yang ada dan memburu apa yang hilang”.
Keseronokan bekerja boleh dicapai apabila kita membayangkan hasil diperoleh daripada titik peluh halal, kesusahan membanting tulang, memerah otak dan keringat serta kesenangan diterima daripada peluang dibuka majikan.
Malah, dalam Islam, sistem dianugerahkan daripada keseronokan bekerja tidak sekadar di dunia dengan ganjaran pahala tetapi terus dibayar di akhirat kelak.
Bagi mengelakkan sebarang bentuk kemudaratan dalam bekerja kepada diri dan orang lain seperti menekan diri dengan bebanan kerja secara berterusan sehingga menjejaskan emosi, kesihatan, masa untuk diri, keluarga dan masyarakat. Bahkan menjejaskan kekhusyukan beribadat atau memudaratkan diri dengan menipu dan menyeleweng. menjaga keseronokan bekerja.
Keseronokan bekerja boleh dicapai dengan berusaha menggembirakan orang lain. Justeru, adanya sistem ganjaran, imbuhan, penghargaan kepada pekerja perlu diberi majikan. Menggembirakan pelanggan dengan perkhidmatan mesra dan kata-kata sopan, saling menghormati rakan dan majikan serta berkongsi rezeki hasil bekerja dengan ahli keluarga dan masyarakat akan menimbulkan kepuasan dalam diri sendiri.
Membanyakkan berdoa agar diberikan keseronokan dalam mencari rezeki yang halal setiap hari terutama ketika senang, ceria dan seronok bekerja. Seperti sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesiapa yang ingin doanya ditunaikan Allah ketika dalam kesulitan, hendaklah dia banyak berdoa ketika dalam kesenangan atau kelapangan”. (Riwayat al-Tirmizi)Artikel:jariyangmenari.blogspot.com
1 ulasan:
Penulisan blog yang menarik dan pelbagai maklumat dan info yang dapat dikongsi bersama. Teruskan menulis... Good job. Well done.
Post a Comment