Islam benar bergurau asal tak melampaui batasan
Bersama Ustaz Zahazan
Usik mengusik jangan sampai menyakiti hati sesama rakan, mengabaikan tugas hakiki.Soalan: SAYA mahu bertanya mengenai gurauan. Rasanya saya ada mendengar kalau bergurau atau mendengar perkara melucukan, ia boleh mematikan hati. Bagaimana sekiranya dalam ceramah agama, ustaz yang berceramah asyik membuat lucu. Adakah ia mematikan hati juga. Bolehkan golongan ustaz bergurau atau hanya perlu serius.
Jawapan: ALHAMDULILLAH wassolatu wassalam ‘ala Rasulillah waba’d. Pertama, hendaklah difahami ajaran Islam seiring dengan fitrah manusia. Tiada satu pun petunjuk dalam Islam yang tidak selaras dengan fitrah atau bawaan manusia yang positif. Mendengar sesuatu yang lucu dan menyegarkan adalah sesuatu yang menyenangkan manusia.
Justeru, pada prinsipnya, Islam tidak mungkin melarang bergurau. Bagaimana mungkin kita kata Islam melarang bergurau padahal al-Quran menyebut dalam surah an-Najm ayat 43 dan 44 yang bermaksud: “Sesungguhnya Dia (Allah) yang menjadikan orang tertawa dan menangis dan Dia pula yang mematikan dan menghidupkan.”
Perlu juga diakui Islam menuntut penganutnya untuk menghadapi hidup dengan serius, tidak menghabiskan waktu dengan bersantai dan bergurau.
Justeru, ada beberapa ayat dan hadis melarang bergurau sebagai contoh, Nabi SAW bersabda (yang bermaksud): “Ada orang yang mengucapkan satu kalimat untuk membuat orang sekelilingnya ketawa tetapi mengakibatkan ia meluncur lebih jauh dari bintang Venus menuju ke neraka.” Atau sabda baginda SAW lagi: “Jangan banyak ketawa kerana banyak ketawa boleh mematikan hati.”
Pada hemat saya, riwayat sebegini – sekiranya dinilai sahih – hendaklah difahami dalam erti gurauan yang tidak menyakitkan hati, melalaikan dari tugas utama kerana Nabi pun ketawa apabila mendengar ucapan atau melihat keadaan yang lucu. Firman Allah SWT mengenai Nabi Sulaiman yang mendengar suara atau ucapan semut (sebagaimana dalam firman Allah SWT ayat 19 surah an-Naml yang bermaksud): “... maka dia tersenyum tertawa mendengar ucapan semut.”
Begitu juga banyak riwayat menceritakan Rasulullah SAW pun bergurau. Antaranya iaitu menurut isteri Baginda, Aisyah: “Rasulullah SAW adalah seorang yang selalu senyum dan tertawa.” Bahkan menurut riwayat lain, Baginda ketawa sampai kelihatan gigi geraham (gigi paling belakang) walaupun tidak terbahak dan tidak mengucapkan kecuali yang benar.
Suatu hari, seorang wanita tua datang kepada Baginda memohon didoakan masuk syurga, maka Baginda bersabda: “Syurga tidak dimasuki wanita tua”. Wanita itu mengeluh kecewa. Ketika itu juga Rasulullah SAW tersenyum dan membacakan firman Allah SWT pada ayat 35 hingga 38 surah al-Waqiah (yang bermaksud):
“Sesungguhnya Kami jadikan isteri mereka dengan secara langsung. Kami jadikan mereka gadis perawan, mencintai sepenuhnya (jodohnya) lagi sebaya umurnya untuk kelompok kanan (penghuni syurga).” Pada waktu yang lain, datang seseorang yang berkata kepada Baginda SAW: “Suami saya mengundang Tuan ke rumah kami.” Nabi SAW pun menjawab: “Apakah di matanya ada sesuatu yang putih.” Si isteri menafikan, tetapi Nabi SAW berkeras dan mengulangi ucapan Baginda.
Bahkan dalam riwayat lain menyatakan Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud): “Segera melihat suamimu kerana pada kedua matanya ada sesuatu yang putih.” Lalu si isteri menemui suaminya dan si suami menenangkan isterinya dengan berkata: “Memang ada putih di mata saya tetapi bukan penyakit. Tenanglah wahai isteriku.” Hakikatnya, semua orang ada putih pada matanya.
Aisyah bercerita: “Pada suatu ketika, saya memasak makanan dan memberikan kepada Rasulullah SAW yang ketika itu berada bersama isteri Baginda iaitu Saudah. Saya mengharap Saudah juga makan bersama tetapi dia tidak mahu kerana tidak sesuai dengan seleranya. Saya pun berkeras sambil berkata, demi Allah! Awak kena makan, kalau tidak saya akan kotorkan muka kamu dengan makanan ini.
Oleh kerana Saudah tetap berkeras tidak mahu makan, saya pun mengambil sebahagian makanan dan menempel pada muka Saudah. Saudah pun melakukan perkara yang sama ke muka saya sambil ketawa. Rasulullah yang menyaksikan kejadian itu juga ketawa.” Demikianlah beberapa kisah gurauan Rasulullah SAW. Wallahua’lam.
Sebarang kemusykilan sila hantarkan soalan ringkas menerusi e-mel bminggu@bharian.com.my atau melalui pos di alamat Berita Harian, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100, Kuala Lumpur.
Article:jariyangmenari.blogspot.com
0 ulasan:
Post a Comment