Saturday, July 21, 2012

Tingkat kualiti pada Ramadan...

Rasulullah, sahabat harungi peperangan Badar ketika puasa

BHOnline Ruangan Agama 2012/07/21 


Alhamdulillah, bersyukur dan bertuah serta bergembiralah kita kerana hari ini kita berpeluang bertemu dengan Ramadan yang sarat dengan kemuliaan, keberkatan dan kerahmatan serta dijanjikan Allah SWT pelbagai limpahan ganjaran serta pengampunan dosa. Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: 



“Sesiapa yang mengerjakan puasa Ramadan dengan beriman dan mengharapkan rahmat Allah SWT, nescaya diampunkan baginya dosanya yang lalu.” (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim) 
Jika pada kebiasaannya kita bersarapan, boleh menjamah jamuan selepas mesyuarat, tetapi dalam bulan ini semua kebiasaan itu tidak dapat dikecapi.

Perubahan ini sedikit sebanyak boleh mengubah semangat, kesegaran dan jadual kerja seharian jika kita tidak mempersiapkan diri sehingga ada mengaitkan pekerja sebagai kurang produktif di bulan ini. 

Perubahan masa


Bahkan, perubahan pada semua kebiasaan ini, jika tidak difahami, dihayati serta dilalui sepenuhnya dengan kesedaran, pengetahuan serta kesabaran boleh menjadikan amalan berpuasa hanya suatu adat dan kerja seharian pula menjadi berat.
Rasulullah SAW pernah berdoa: “Ya Allah aku berlindung kepada-Mu daripada kelaparan, kerana itu adalah teman berbaring yang paling buruk dan aku berlindung kepada-Mu daripada khianat, kerana itu adalah pendamping yang sangat buruk.” (Hadis riwayat Abu Daud, al-Nasaie dan Ibn Majah) 

Justeru, Allah SWT mengubah kebiasaan hamba-Nya dan memerintahkan kita menahan diri daripada makan dan minum serta perkara membatalkan puasa selama sebulan untuk menguji ketaatan dan kesabaran semata-mata kerana memenuhi perintah Allah SWT. 

Sabda Rasulullah, Ramadan adalah bulan kesabaran. Sabdanya lagi Allah SWT berfirman: “Segala amal bakti anak Adam adalah untuknya kecuali amalan puasa, maka ia adalah untuk-Ku, dan Akulah yang membalasnya (dengan balasan yang sebaik-baiknya).” (Hadis riwayat Muslim) 

Bentuk insan taat diri

Selain memberikan pelbagai hikmah Ramadan dan orang yang berpuasa bagi membentuk diri menjadi insan yang taat dan bertakwa walaupun dengan mengubah kebiasaan dan mengurangkan keperluan. 

Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 216 bermaksud, “boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui”.

Mengimbas sejarah Rasulullah dan sahabat serta salafussalih berpuasa dapat merangsang semangat dan kesabaran kita. 

Harungi peperangan 

Bagaimana Rasulullah SAW dan sahabat boleh mengharungi peperangan Badar dalam bulan ini? Semua ini kerana, ia dilakukan kerana Allah dan untuk merebut limpah kurniaan- Nya.

Justeru, marilah kita renungi dengan mendalam dan contohi seberapa mampu supaya Ramadan kali ini lebih baik berbanding sebelumnya.

Pepatah Arab menyebut, “tirulah kemuliaan kerana sesungguhnya ia boleh membawa kejayaan walaupun jika tidak dapat melakukan yang benar-benar serupa”.

Justeru, bagi mengelakkan puasa adat dan kerja menjadi berat, perlulah kita mempunyai kesedaran dan pengetahuan asas yang baik di awal Ramadan ini.

Pertama, dengan mengetahui kelebihan dan hikmah berpuasa. Antaranya bahawa setiap amalan kebajikan dalam bulan ini digandakan dengan berlipat kali ganda pahalanya, diberikan dengan malam lailatul qadar yang lebih baik daripada 1,000 bulan, dimakbulkan doa, diampunkan dosa dan disediakan syurga yang dinamakan ar-Rayyan. 

Peluang keemasan 

Kedua, dengan mensyukuri kelebihan dan kemudahan dalam bekerja berbanding kerjaya individu lain yang lebih susah dan berat. 

Dalam sebuah hadis sahih disebutkan, “Dalam hal dunia, hendaklah kamu melihat kepada orang yang di bawah”. (Riwayat Imam Bukhari, Muslim dan Ahmad). 

Ramadan perlu menjadi peluang keemasan untuk direbut dengan melipat gandakan amal dan kerja supaya lebih baik serta berkualiti daripada kebiasaan.


Artikel:jariyangmenari.blogspot.com

Friday, May 25, 2012

Akhlak belia paparan imej negara masa depan

Akhlak belia paparan imej negara masa depan
BHOnline Ruangan Agama 2012/05/25


PATRIOTISME ialah perasaan cinta yang kuat terhadap tanah air. Ia membawa maksud keterikatan kepada kumpulan rakan senegara dan tanah air. Dalam Bahasa Arab ia diwakili dengan perkataan wataniah. Jika ditinjau dari sudut pandangan Islam, ia dihubung kait dengan sifat cintakan tanah air. 



Rasulullah SAW sebagai pemimpin umat dan ketua negara memberi penekanan khusus membimbing belia dengan cara menggesa mereka berakhlak mulia, taat beribadah kepada Allah, taat kepada pemimpin dan mencintai negara.
Bimbingan ini akan menentukan belia menjadi pemimpin masa depan yang bertanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara. Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya Allah sangat kagum kepada pemuda yang tidak ada padanya kelakuan pelik dan menyeleweng.” (Hadis riwayat Ahmad)
Patriotisme bukanlah satu ideologi tetapi semangat dan gagasan mendidik serta memberi kefahaman kepada manusia supaya mencintai kehidupan dan tanah air. Manusia perlu membina semangat patriotik untuk menjamin kesejahteraan dan perpaduan rakyat. 

Membina semangat patriotisme ini, berkait rapat dengan jati diri, perasaan kasih, kesetiaan rakyat terhadap negara serta pemimpin secara menyeluruh. Berasaskan dalil al-Quran dan hadis, ulama sepakat mengatakan taat kepada pemerintah fardu kepada setiap Muslim, manakala menderhaka adalah satu dosa besar. 

Rasulullah SAW bersabda dengan maksudnya: “Tiga golongan Allah SWT tidak menegurnya pada hari kiamat, tidak melihat kepada mereka, tidak membersih dosa mereka dan mereka menerima azab yang pedih, seorang yang mengaku setia kepada pemerintah, ia berbuat demikian kerana keduniaan, jika diberi ia tunaikan kesetiaannya tetapi jika tidak diberi, ia menderhaka.” (Hadis riwayat al-Bukhari) 

Golongan belia penting dalam membawa perubahan daripada negatif kepada positif, lemah kepada kuat, mundur kepada maju dan terbaik kepada cemerlang. 
Tokoh ulama semasa yang berpengaruh, Syeikh Yusof Al-Qaradhawi berkata: “Apabila kita hendak melihat wajah sesebuah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini. Jika golongan muda hari ini adalah daripada kalangan berakhlak, tentunya sesebuah negara itu akan datang adalah sebuah negara yang aman makmur, tetapi jika keadaan adalah sebaliknya, maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang akan berlaku.” 

Kebangkitan golongan belia akhir-akhir ini amat menggembirakan namun ada juga kes yang mana idealisme kebebasan dan hak diperjuangkan mereka perlu diberi arah tujuan selaras prinsip Islam. 
Kegelojohan menyuarakan pandangan dan memperjuangkan hak menyebabkan ada segelintir mereka terjebak aktiviti ekstrim, demonstrasi jalanan, melakukan kekacauan dan huru-hara. 

Golongan belia sebenarnya mempunyai idealisme tetapi pada masa sama masih mentah pengalaman hidup dan terbawa-bawa dengan jiwa muda bergelora. Ingatlah, Islam telah menetapkan setiap insan tidak memiliki kebebasan hakiki, bahkan setiap tindak-tanduknya dibimbing oleh prinsip dan peraturan ditetapkan syarak yang bersumberkan wahyu Allah SWT. 

Manusia yang baik menurut pandangan Islam ialah orang yang hidup menggunakan sepenuhnya potensi diri untuk memajukan keluarga, masyarakat, bangsa, agama dan negara. Generasi belia patriotik inilah yang menjadi cita-cita negara untuk membentuk tamadun Islam dihormati dan disegani masyarakat dunia. 

Firman Allah yang bermaksud: “Ingatkanlah ketika serombongan orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: Wahai Tuhan kami! kurniakanlah kami rahmat dari sisimu, dan berilah kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami.” (Surah Al-Kahfi, ayat 10)
Artikel:jariyangmenari.blogspot.com

Wednesday, March 14, 2012

Jangan Sampai Tertinggal Gerabak



Jangan Sampai Tertinggal Gerabak
Gejala keciciran daripada arus perdana kebaikan boleh menular kepada setiap individu jika ia tidak dibendung dengan iman dan taqwa.


Di sinilah syaitan akan memainkan peranannya dengan menghalang orang-orang mukmin daripada bekerja dengan penuh kesungguhan. Oleh kerana itulah setiap dari kita mesti menyertakan kesabaran dan taqwa ketika mengharungi fitnah besar ini.

Seringkali kita dapati ramai generasi muda yang bersemangat pada peringkat awalnya tetapi mula mencari rentak baru apabila diberi sedikit ujian di dalam bentuk yang pelbagai.

Ada yang diuji dengan kesibukan kerjaya, ada yang diuji dengan keperitan hidup, ada yang diuji dengan kesenangan dunia, ada yang diuji dengan populariti, ada yang diuji dengan obses pendapat sendiri dan sebagainya.

Ujian-ujian ini menyebabkannya semakin hari semakin menjauhkan diri daripada gerabak kebenaran dan kebaikan sehingga akhirnya dia sekadar menjadi pemerhati kepada sejarah yang berlaku.

Terjemahan hadith:
Dari Abu Amr, dan ada juga yang mengatakan Abu 'Amrah, Sufyan bin Abdillah As Tsaqofi r.hu dia berkata, saya berkata: Wahai Rasulullah S.A.W, katakan kepada saya tentang Islam sebuah perkataan yang tidak saya tanyakan kepada seorang pun selainmu. Beliau bersabda: Katakanlah: 'Saya beriman kepada Allah', kemudian berpegang teguhlah.[Riwayat Muslim]

Di antara pelajaran daripada hadith ini:

1.     Iman dan amal soleh mesti dimiliki dan diperbaharui.

2.     Istiqamah merupakan kehebatan di darjat yang tinggi.

3.     Perintah untuk istiqamah di jalan kebaikan dan ikhlas beribadah hingga mati.

Hidayah adalah milik Allah dan Dialah yang membolak-balikkan hati kita semua. Bagi mengelakkan diri daripada gejala keciciran ini, maka sudah semestinya kita meletakkan Allah sebagai satu-satunya tempat kita bergantung. Semuanya ini adalah milik Ilahi dan Dialah yang berupaya memberikan segala-galanya kepada kita.

Setiap kita seharusnya mengambil pengiktibaran daripada kisah-kisah para nabi yang terdahulu dan para sahabat yang berpegang teguh dengan janji-janji Allah swt sehingga mereka berjaya mengharunginya dan diberi kemenangan yang hakiki.

Semoga kita dijauhkan oleh Allah daripada fitnah ini.

- Artikel iluvislam.com
-Artikel jariyangmenari.blogspot.com

Saturday, March 10, 2012

Jadilah Rakan Yang Terbaik

Jadilah Rakan Yang Terbaik.
 Dalam hidup ini kita pasti akan memerlukan teman atau dipanggil sebagai rakan. Merekalah yang akan menjadi teman semasa kita masih hidup di dunia ini. Rakan yang baik akan sentiasa membimbing kita ke arah kebaikan.

Dalam kita berkawan biarlah ikhlas dan bukannya bersebab. Kita hendaklah sentiasa berusaha untuk melakukan kebaikan kepada rakan kita tanpa mengharapkan apa-apa balasan kembali darinya. Biarlah Allah S.W.T yang membalas kebaikan yang kita lakukan.

Adab dalam berkawan memang perlu sentiasa dijaga supaya hubungan persabahatan yang dibina akan berkekalan sampai bila-bila. Kita akan dapat mengenali siapa rakan-rakan yang benar-benar ikhlas berkawan dengan diri kita di waktu susah dan juga senang.

Kawan yang ramai sememangnya boleh dicari. Itu memang benar. Dimana-mana sahaja tempat kita boleh berkenalan dengan orang lain. Rakan-rakan sekampung, rakan sekolah, rakan universiti, rakan tempat kerja dan banyak lagi rakan-rakan lain yang boleh kita jumpa dimana-mana. Pepatah ada mengatakan berkawan biar seribu, bercinta biar satu.

Kehidupan kita dan rakan-rakan kita adalah saling memerlukan antara satu sama lain. Rakan-rakan boleh menjadi tempat untuk kita berkongsi masalah. Rakan yang terbaik akan menjadi pendengar yang baik dan akan cuba membantu menyelesaikan masalah yang kita hadapi.

Kita juga boleh meminta pandangan dari rakan-rakan kita terhadap perkara yang kita tidak tahu. Hargailah pandangan yang diberikan oleh rakan kita walaupun adakalanya kita tidak bersetuju.

"Waktu kita dalam keadaan senang, rakan-rakan akan mengenali kita. Waktu kita dalam kesusahan, kita akan mengenali siapa rakan-rakan kita."

Masa senang adalah masa yang paling disukai oleh sesiapa sahaja. Pada waktu senang ramai rakan-rakan akan bersama dengan kita. Mereka akan berasa seronok dapat berkawan dengan kita. Kita juga akan berasa seronok mempunyai rakan-rakan yang ramai. Semua orang akan rasa gembira apabila berada pada waktu senang.

Tetapi langit tidak selalu cerah. Kita akan diuji oleh Allah S.W.T dengan kesusahan. Pada waktu susah tidak ramai orang yang dapat membantu diri kita. Pada waktu ini juga kita akan dapat menilai siapakah yang benar-benar ikhlas berkawan dengan diri kita. Ramai rakan-rakan akan lari meninggalkan diri kita kerana kesusahan yang kita alami.

Jika masih ada rakan-rakan yang setia bersama dengan kita itulah rakan-rakan yang benar ikhlas dan hubungan persahabatan yang dibina. Mereka akan cuba membantu kita mengikut kemampuan diri mereka. Bersyukurlah kita jika mempunyai rakan-rakan yang setia bersama dengan kita di waktu susah.

Hargailah rakan-rakan yang masih ada bersama dengan diri kita. Jika kita tidak pandai untuk menghargai rakan-rakan kita, sudah tentu mereka akan pergi meninggalkan kita. Berbuat baiklah kepada rakan-rakan kita mengikut kemampuan diri kita. Sentiasa mengambil berat kepada diri mereka.

Contoh hubungan persahabatan terbaik yang perlu kita contohi adalah sahabat-sahabat seperjuangan Rasulullah S.A.W seperti Abu Bakar As-Siddiq Umar Al Khattab, Usman Bin Affan, Ali Bin Abi Talib dan sahabat-sahabat nabi yang lain.

Mereka bersahabat kerana Allah S.W.T dan berjuang bersama-sama dengan Rasulullah S.A.W untuk menegakkan agama Islam. Tidak kira di waktu susah atau pun senang mereka akan tetap berjuang bersama dengan Rasulullah S.A.W. Itulah contoh sahabat terbaik yang perlu kita contohi.

Semoga hubungan persahabatan yang kita jalinkan bersama dengan rakan-rakan kita akan sentiasa diberkati oleh Allah S.W.T. Berdoalah untuk kesejahteraan rakan-rakan kita. Jika ada diantara rakan-rakan kita yang melakukan kesalahan maka masing-masing perlu mengingatkan antara satu sama lain.

Perbetulkan mana yang silap. Terimalah rakan-rakan kita seadanya kerana kita sebagai manusia sememangnya tidak sempurna.

-Artikel iluvislam.com
-Artikel jariyangmenari.blogspot.com

Saturday, February 4, 2012

Gunalah Laman sosial Dengan Kebaikan

Gunalah Laman sosial Dengan Kebaikan


Memang tidak dapat dinafikan penggunaan laman web sosial seperti facebooktwittermyfriends2u, dan lain-lain semakin meluas di seluruh dunia termasuk juga Malaysia. Laman web sosial digunakan ramai untuk pelbagai tujuan seperti berhubung dengan rakan, mencari kawan lama, mencari kawan baru, memasarkan barangan, melebarkan rangkaian kenalan dan lain-lain lagi.

Tidak hairanlah juka ditanya, pasti ramai baik yang bergelar pelajar, pekerja serta suri rumah mengakui 'melekat' di komputer malayari laman web berkaitan saban hari. Lebih parah lagi jika mereka ketagih permainan komputer secara online di laman tersebut.

Dipetik daripada akhbar Berita Minggu (Ahad, 19 September 2010):

Pakar otak terkemuka Britain, Susan Greenfield yang juga merupakan pensyarah Universiti Oxford menyatakan bahawa ketagihan internet boleh merubah otak dengan menjejaskan tumpuan dan mengurangkan aspek kepantasan reaksi dan empati. Individu boleh menjadi seorang yang dingin, tidak peka atau sensitif terhadap orang lain kerana fungsi otak mereka sudah berubah kerana terlalu asyik dengan komputer.

Penggunaan laman web sosial juga mengurangkan interaksi secara bersemuka dan mengurangkan kemahiran sosial. Mungkinkah ini juga penyebab ramai graduan Malaysia sukar mendapat pekerjaan kerana salah satu faktor yang dikenalpasti oleh Kementerian Sumber Manusia ialah kurangnya kemahiran sosial dalam kalangan graduan di Malaysia. Terdapat juga pernyataan yang mengatakan laman web sosial boleh menyebabkan institusi kekeluargaan runtuh disebabkan semua ahli keluarga lebih suka berkomunikasi dengan rakan di alam maya berbanding keluarga sendiri.

Namun, di sebalik pelbagai kelemahan laman web sosial tersebut, ia juga banyak memberikan kelebihan kepada penggunanya. Contohnya, terdapat individu yang mengaut keuntungan berpuluh-ribu dengan berniaga melalui laman tersebut. Tanpa perlu membayar sewa kedai, mempunyai lesen perniagaan dan lain-lain bil, mereka boleh memasarkan barangan dengan meluas.

Laman web sosial juga boleh digunakan oleh pendidik untuk berhubung dengan pendidik di tempat lain untuk bertukar-tukar pandangan dan boleh juga digunakan bersama pelajar mereka bagi menyampaikan maklumat dan bahan pengajaran berguna.
Satu lagi cara baru penggunaan laman web sosial seperti facebook ialah boleh digunakan oleh penyelidik untuk mengumpul data kajian melalui temuramah secara maya. Walaupun cara berkenaan belum dikatakan sah untuk membuat kajian, ia adalah satu cara alternatif yang boleh difikirkan.

Setiap benda di dunia ini pasti mempunyai kelebihan dan kelemahan. Maka, penggunaan laman web sosial ini boleh menjadi sesuatu yang positif mahupun sebaliknya bergantung kepada si pengguna. Gunakanlah kemajuan ICT ini dengan cara yang betul agar kita menjadi manusia yang bijaksana.


Artikel:jariyangmenari.blogspot.com

Friday, January 20, 2012

Ruang pejabat bersih tingkat prestasi pekerja


Ruang pejabat bersih tingkat prestasi pekerja
BHOnline Ruangan Agama 21/01/2012

Amalan membudayakan kebersihan jadi terapi minda, kekang tekanan tugas 

KEBERSIHAN adalah tunjang agama dan sebahagian daripada iman. Ia amat dititikberatkan dalam segenap aspek kehidupan. Buktinya, ajaran Islam memperkenalkan sistem kebersihan secara khusus melalui amalan kebersihan.
Antaranya, kaedah berwuduk, bertayamum, beristinjak, membersihkan najis, mandi hadas, mandi mayat, kebersihan diri dengan memotong kuku, menggosok gigi, membuang bulu ketiak dan ari-ari, merapikan rambut dan misai serta membersihkan hidung.

Begitu juga amalan kebersihan umum seperti memastikan kebersihan ruang solat, larangan membuang air di laluan awam, di bawah pohon yang berbuah dan dalam air bertakung. Semua contoh ini adalah cara Islam dalam menjaga kebersihan diri, orang lain dan persekitaran.
Sabda Rasulullah SAW daripada Ibn Mas’ud: “Sesungguhnya Allah itu cantik (indah) dan bersih. Dia amat mencintai kepada perkara yang cantik (indah) dan bersih.” 
Manakala firman Allah yang bermaksud: “Hai orang yang berselimut. Bangunlah, lalu berilah peringatan! Dan Tuhanmu agungkanlah. Dan pakaianmu bersihkanlah.” (Surah al-Mudatthir, ayat 1-4) 

Bahkan, dalam kitab fiqh ulama selalu meletakkan bab taharah (kebersihan) pada bab yang pertama tetapi sayangnya isu kebersihan dalam kalangan umat Islam sendiri masih belum berkesudahan. Walaupun setiap hari kita berwuduk dan mandi, namun amalan itu belum menjamin pembudayaan kebersihan khasnya di tempat awam termasuklah di tempat kerja sendiri.


Contoh ketara ialah kebersihan tandas di surau dan masjid yang rata-ratanya masih belum memuaskan. Ada kala lebih buruk dan kotor daripada tandas awam. Ada juga ruang solat yang kotor dengan tahi cicak, habuk, sampah serta sejadah, telekung dan kitab tidak tersusun kemas. Malang sekali apabila kebersihan rumah milik umat Islam ini masih belum boleh dibanggakan.

Justeru, perlulah diingat bahawa kebersihan bukan perkara ranting sebaliknya ia adalah perkara pokok mesti diutamakan dalam soal kerohanian dan peribadatan serta diberi keutamaan dalam urusan kehidupan.

Teori pengurusan organisasi menunjukkan kebersihan ruang pejabat dan persekitarannya bukan saja perlu untuk kelihatan kemas serta cantik, tetapi ia memberi sekurang-kurangnya tiga kesan penting iaitu meyakinkan pelanggan terhadap kualiti pengurusan serta memberi dorongan motivasi kepada pekerja.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya kamu akan berjumpa saudara kamu, maka perelokkanlah bekalan kamu dan pakaian kamu sehingga kamu menjadi tahi lalat dalam kalangan manusia. Sesungguhnya Allah tidak menyukai perkataan dan perbuatan yang keji dan keterlaluan dalam perkataan dan perbuatan.” (Hadis riwayat Abu Daud) 

Menurut Dr Mustafa al-Khin dalam Fiqh al-Manhaji, maksud menjadi tahi lalat dalam kalangan manusia dalam hadis ini ialah menonjol dan berbeza daripada yang lain kerana kebaikannya atau membentuk imej yang nantinya akan menjadi ikutan.

Penekanan terhadap aspek kebersihan dan kekemasan persekitaran ruang fizikal membabitkan peralatan, jentera, kemudahan kerusi, meja, rak fail, tandas dan sebagainya boleh dilakukan dengan mempraktikkan amalan 5S yang diperkenalkan dalam organisasi di Jepun.

Amalan 5S itu ialah seiri, seiton, seiso, seiketsu dan shitsuke. Kesemuanya bermaksud sisih, susun, sapu, seragam dan sentiasa praktik.

Sisih bererti mengasingkan apa yang perlu dan tidak perlu. Apa yang tidak perlu itu boleh dibuang atau dilupuskan bagi menjimatkan ruang. Kemudian, semua perlu disusun atur dan diseragamkan dengan pelbagai sistem penyimpanan seperti angka, abjad atau warna supaya memudahkan urusan mencari serta menyimpan dokumen.

Ruang dan peralatan yang ada juga hendaklah sentiasa dijaga kebersihannya dengan sentiasa disapu. Mudahnya, kita boleh memulakan sendiri dengan menjadikan amalan menyapu ruang, menyusun fail dan membuang sampah di meja sendiri sebelum atau selepas memulakan kerja sebagai tabiat setiap hari.

Ruang yang bersih, kemas lagi cantik itu akan menjadi terapi minda yang baik untuk mendorong minat kita berada di pejabat dan bekerja dengan sistematik, cekap serta cepat. Ia juga memberikan pandangan mata dan fikiran tenang, sekali gus memudahkan lahirnya idea lebih kreatif, keputusan adil serta komunikasi menyenangkan.

Semua ini sudah tentu akan mewujudkan suasana seronok dan selesa di tempat kerja selain memberi keselesaan kepada pelanggan dan imej baik kepada organisasi.

Justeru, marilah sama-sama kita menjadi pekerja dan individu yang prihatin terhadap aspek kebersihan dan kekemasan serta membudayakan sifat ringan tulang untuk menjaganya di mana juga kita berada.

Semakin kita mengutamakan kebersihan semakin baiklah perjalanan pengurusan dan semakin baik perjalanan pengurusan akan semakin baiklah hubungan kita sesama manusia serta hubungan kita dengan Pencipta.


Artikel:jariyangmenari.blogspot.com

Friday, January 13, 2012

Pembelajaran sepanjang hayat lonjak kecemerlangan

Pembelajaran sepanjang hayat lonjak kecemerlangan

BHOnline Ruangan Agama 2012/01/11

AKTIVITI pembelajaran tidak hanya berlaku di sekolah atau institusi pengajian saja tetapi juga di tempat kerja. Pembelajaran sepanjang hayat sama ada secara formal atau tidak, dengan usaha sendiri atau disediakan majikan bukan sekadar suatu keperluan tetapi sumber hidayah Allah. 

Pintu hidayah Allah SWT terbuka bagi mereka yang bekerja mencari rezeki halal serta berusaha untuk memperbaiki diri serta kerja yang diusahakan.
Firman Allah yang bermaksud: “Dan orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang yang berusaha membaiki amalannya.” (Surah Al-‘Ankabut, ayat 69)
Usaha memperbaiki diri dan kerja boleh dilakukan melalui proses menimba pengalaman dan pengetahuan seperti mana peringatan menuntut ilmu dari buaian sehingga ke liang lahad. 

Program pengetahuan yang berkaitan secara langsung atau tidak dengan keperluan organisasi bolehlah disenaraikan pada awal tahun ini. Bagi merealisasikan usaha pembelajaran sepanjang hayat di tempat kerja, seseorang hendaklah mempunyai tiga sifat asas iaitu sukakan ilmu pengetahuan, rajin belajar dan memiliki daya ingin tahu yang tinggi. 

Ketiga-tiga sifat ini sudah disarankan Baginda Rasulullah SAW dalam sabda yang bermaksud: “Carilah ilmu walaupun di negeri China.” (Hadis riwayat al-Baihaqi) 

Mencari ilmu sampai ke negeri China menunjukkan kesungguhan, minat, daya ingin tahu dan kerajinan yang ada pada penuntut serta hasrat mendalami nilai kehidupan masyarakat lain yang dituntut. 
Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud: “Siapa saja yang menempuh perjalanan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memberikan kepadanya kemudahan jalan menuju syurga.” (Hadis riwayat Al-Tirmizi) 

Usaha pembelajaran sepanjang hayat juga perlu direalisasikan melalui proses perkongsian pengetahuan di tempat kerja. Kakitangan berkongsi pengetahuan dan maklumat akan menghidupkan suasana kerjasama harmoni yang menghasilkan keputusan serta kerja cekap dan adil. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan bertanyalah kepada ahli ilmu sekiranya kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Nahl, ayat 43) 

Sejarah Islam membuktikan kehebatan keilmuan imam mazhab juga kerana kecintaan mereka yang mendalam terhadap penguasaan pelbagai ilmu dan pencariannya berterusan sehingga kewafatan mereka selain kewarakan serta akhlak dalam mengajarkannya kepada masyarakat. 

Diriwayatkan oleh Muaz bin Jabal, Rasulullah SAW bersabda: “Belajarlah kamu ilmu, kerana mempelajarinya kerana Allah itu amal kebajikan, dan menelaah suatu ilmu pahalanya umpama membaca tasbih, mengadakan pembahasan terhadap suatu ilmu adalah jihad, mencari ilmu itu ibadah, mengajarkannya termasuk sedekah; menyerahkan ilmu kepada ahlinya mendekatkan diri kepada Allah, memikirkan suatu ilmu pahalanya umpama melaksanakan ibadah puasa, dan bermuzakarah mengenai ilmu itu pahalanya umpama melaksanakan solat malam.” (Hadis riwayat Abu Syaikh dan Ibnu Abdil Bar) 

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Nabi-nabi disuruh untuk menempatkan seseorang itu pada tempatnya dan berbicara dengannya mengikut tahap pemikirannya.” (Hadis riwayat Abu Daud) 

Kejayaan daripada penguasaan ilmu, kemahiran dan kompetensi yang diperoleh menjadikan seseorang itu mendapat pelbagai kebaikan darjat, pangkat, produktiviti dan prestasi yang tinggi. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Hai orang beriman apabila kamu dikatakan kepadamu: Berlapang-lapanglah dalam majlis, maka lapangkanlah nescaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan: Berdirilah kamu, maka berdirilah, nescaya Allah akan meninggikan orang yang beriman di antaramu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah Al-Mujadalah, ayat 11) 

Dr Wahbah al-Zuhaily dalam tafsirnya mengenai ayat ini berkata: “Darjat orang mukmin melebihi darjat orang bukan mukmin. Darjat orang berilmu melebihi darjat orang yang tidak berilmu.” 

Justeru, pembelajaran sepanjang hayat dengan sifat berterusan dan ikhlas untuk memperbaiki amalan akan melonjakkan kecemerlangan diri dan organisasi. 


Artikel:jariyangmenari.blogspot.com

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Grants For Single Moms