There was an error in this gadget

Friday, December 30, 2011

Nikmat di sebalik seronok kerja


Nikmat di sebalik seronok kerja
BHOnline:Ruangan Agama 2011/12/31

Ikhlas laksana tugas boleh bentuk organisasi cemerlang 
KESERONOKAN bekerja ialah gambaran menunjukkan kegembiraan, keceriaan, keinginan tinggi atau sekurang-kurangnya keselesaan melaksanakan tugasan seharian. Ia adalah perasaan hebat serta mampu menyumbang pencapaian yang tinggi.
Daripada perasaan ini terhimpun nilai murni seperti kesungguhan, kerajinan, kreatif, proaktif, inovatif, disiplin dan komited. Ia ibarat pintu yang membuka pelbagai kebaikan masuk ke dalamnya.
Justeru, keseronokan bekerja perlu difahami sebagai akhlak mulia kerana ia menganjur kebaikan. Dalam perkhidmatan awam, keseronokan bekerja disenaraikan sebagai satu nilai murni dalam Tonggak 12. Jika keseronokan bekerja berjaya dicapai, sesebuah organisasi akan cemerlang. 

Namun, seseorang pekerja tidaklah selama-lamanya berada dalam keadaan seronok kerana menjadi tabiat manusia tidak lekang mengalami pelbagai perasaan berlawanan seperti bosan, malas dan sebagainya. Perasaan ini dialami ekoran pelbagai faktor dalaman dan luaran atau persekitaran organisasi. 

Ada yang tidak seronok bekerja kerana faktor kesesakan, jarak antara rumah dan tempat kerja, beban tugas berat, arahan kerja tidak jelas dan di luar kemampuan, keputusan tidak disepakati, masalah kesihatan, masalah dengan rakan sejawat dan majikan, tiada jaminan kerja, kebajikan, keselamatan, imbuhan dan penghargaan yang tidak setimpal dan macam-macam lagi. 

Hakikatnya, ia tidak semudah ungkapan. Kerana itu rungutan, aduan dan perselisihan menjadi asam garam di tempat kerja. Namun, menurut Syeikh al-Buti perasaan berubah-ubah dan pelbagai itu mempunyai hikmah besar dalam mendekatkan diri hamba kepada Penciptanya serta saling melengkapi. 

Ertinya, keseronokan tidak akan benar-benar dirasai kecuali mengalami kejemuan, kesusahan, kepenatan dengan tabah serta berjaya diatasi dengan baik. 
Sifat itu pula menyebabkan seseorang dekat kepada Allah SWT. Justeru, bagi yang beriman, kedua-dua sifat seronok dan lawannya itu memberi faedah tersirat mahupun tersurat jika dikemudi dengan baik. 

Walau bagaimanapun keseronokan bekerja perlu diusahakan demi kejayaan. Pelbagai cara perlu dilakukan oleh kedua-dua pihak, pekerja dan majikan. Antaranya pertama, membugarkan perasaan syukur terhadap nikmat pekerjaan yang dimiliki. 

Mengingatkan sentiasa mengenai betapa beruntungnya kita dengan nikmat ini mampu menyuburkan rasa syukur dan bertanggungjawab dalam diri pekerja. 

Perasaan ini walau bagaimanapun selalu dirasai apabila ia hilang daripada genggaman seperti tidak berupaya bekerja, tiada peluang bekerja disebabkan kemiskinan dan huru-hara dalam negara, dibuang kerja atau diturunkan pangkat. 

Pada ketika itu seseorang akan merasai besarnya nikmat bekerja. 


Syair Arab bermaksud: “Syukur itu mengikat nikmat yang ada dan memburu apa yang hilang”. 

Keseronokan bekerja boleh dicapai apabila kita membayangkan hasil diperoleh daripada titik peluh halal, kesusahan membanting tulang, memerah otak dan keringat serta kesenangan diterima daripada peluang dibuka majikan. 

Malah, dalam Islam, sistem dianugerahkan daripada keseronokan bekerja tidak sekadar di dunia dengan ganjaran pahala tetapi terus dibayar di akhirat kelak. 

Bagi mengelakkan sebarang bentuk kemudaratan dalam bekerja kepada diri dan orang lain seperti menekan diri dengan bebanan kerja secara berterusan sehingga menjejaskan emosi, kesihatan, masa untuk diri, keluarga dan masyarakat. Bahkan menjejaskan kekhusyukan beribadat atau memudaratkan diri dengan menipu dan menyeleweng. menjaga keseronokan bekerja. 

Keseronokan bekerja boleh dicapai dengan berusaha menggembirakan orang lain. Justeru, adanya sistem ganjaran, imbuhan, penghargaan kepada pekerja perlu diberi majikan. Menggembirakan pelanggan dengan perkhidmatan mesra dan kata-kata sopan, saling menghormati rakan dan majikan serta berkongsi rezeki hasil bekerja dengan ahli keluarga dan masyarakat akan menimbulkan kepuasan dalam diri sendiri. 

Membanyakkan berdoa agar diberikan keseronokan dalam mencari rezeki yang halal setiap hari terutama ketika senang, ceria dan seronok bekerja. Seperti sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesiapa yang ingin doanya ditunaikan Allah ketika dalam kesulitan, hendaklah dia banyak berdoa ketika dalam kesenangan atau kelapangan”. (Riwayat al-Tirmizi) 
Artikel:jariyangmenari.blogspot.com

Bina Azam


Petua Bina A.Z.A.M. 

A : Akal - sentiasa perkara yang ingin diazamkan (dicita-citakan) bermula dari akal (minda). Setiap insan perlu ada misi & visi (wawasan) dalam kehidupannya sama ada dunia mahupun akhirat.

Z : Zahir - Wawasan yang sekadar bermain diminda tanpa dizahirkan (dicatat atau ditulis) pasti akan luput dari ingatan. Justeru itu, mencatatkan cita-cita yang ingin dicapai boleh digunakan sebagai rujukan dikemudian hari.

A : Aksi - Wawasan atau azam yang tidak dilaksanakan akan tinggal azam sahaja. maka bertindaklah... lakukanlah segala yang diazamkan.

M : Muhasabah - Segala perlakuan dan tindakan harus disemak sentiasa agar ianya selari dengan apa yang ingin diazamkan.

---
Artikel: jariyangmenari.blogspot.com

Monday, December 26, 2011

Petua Menjadi Pelajar Cemerlang Menurut Al-Quran

Petua Menjadi Pelajar Cemerlang Menurut Al-Quran



Anda inginkan petua-petua untuk menjadi pelajar cemerlang walau di mana sahaja anda berada?

Apa kata kita renungkan kembali beberapa petua atau tips kejayaan yang telah Allah SWT titipkan di permulaan surah Al-Mu'minun, surah yang ke-23 di dalam lembaran Al-Quran.

01.Keyakinan, kepercayaan and keimanan kepada Allah SWT

"Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman." [23:1]

Iman dan kejayaan disebut oleh Allah SWT dalam ayat yang sama. Maka imanlah faktor utama kejayaan. Dan keyakinan yang tinggi inilah yang akan melahirkan sikap positif yang bakal disebutkan dibawah.

02.Fokus, bersungguh-sungguh, sepenuh hati

"iaitu orang-orang yang khusyuk dalam solatnya." [23:2]

Lakukan satu-satu perkara dalam satu-satu masa. Jangan mencapah dan melayang fikiran ke sana ke mari. Lakukan dengan sepenuh hati, bukan sambil lewa.

03.Prioriti. Mengutamakan apa yang utama.

"dan orang-orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan yang sia-sia)." [23:3]

Kebiasaannya dalam menghadapi musim peperiksaan yang penuh tekanan, kita cenderung untuk berehat dan menenangkan minda dengan hiburan, menonton drama, bersembang di Facebook dan seumpanya sehinggakan selalu sahaja melebihi daripada masa rehat yang telah kita peruntukkan.

Sebaik-baiknya kita mengoptimumkan penggunaan masa untuk belajar, dan mengisi masa rehat kita dengan perkara-perkara yang berfaedah seperti membasuh, melipat atau menggosok baju, bersenam untuk melancarkan perjalanan darah di dalam badan dan bermacam-macam lagi yang anda sendiri lebih sedia maklum.

Namun, sebaik-baiknya kita gunakan masa rehat itu untuk mengambil wudu', melakukan solat sunat dan membaca Al-Quran. InsyaAllah apabila kita lebih rapat dengan Allah SWT, jiwa kita akan lebih tenang dan ia akan banyak membantu dalam usaha kita mengulangkaji pelajaran.

Kita dikehendaki menghindarkan diri dari perbuatan mengumpat pensyarah/guru kerana perkara-perkara sebegini tidak mendatangkan faedah kepada masa depan anda, tidak menambahkan markah untuk kertas peperiksaan yang bakal/telah diduduki, malah boleh mendatangkan dosa dan kemurkaan Allah SWT.

04.Prihatin sesama kita

"Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu)" [23:4]

Walaupun sedang berada di saat-saat genting, janganlah kita bersikap terlalu mementingkan diri, dan mengabaikan kawan-kawan yang lebih susah di sekeliling kita. Kongsilah apa yang termampu, samada ilmu, kertas-kertas soalan tahun lepas dan lain-lain. Sharing is caring.

05.Jaga hubungan antara lelaki dan perempuan

"dan orang-orang yang menjaga kehormatannya. kecuali terhadap isteri-isteri mereka, atau hamba yang mereka miliki, maka mereka (isteri dan hamba) dalam hal ini tiada tercela. Sesiapa yang mencari dibalik itu, mereka itulah orang-orang yang melampaui batas." [23:5,6,7]

Janganlah kita menggunakan alasan belajar untuk melanggari batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan ajnabi, misalnya dengan studi berdua-duan, kemudian pulang ke rumah berpimpin tangan, atau asal tertekan je mesti nak bergayut atau berchatting dengan kawan lelaki/perempuan anda.

Padahal Allah SWT kan sentiasa ada, sentiasa melindungi dan sentiasa menolong jika kita mencari dan meminta pada-Nya.

06.Jujur, amanah

" dan orang-orang yang memelihara amanah-amanah dan janjinya."[23:8]

Bukankah kita telah berjanji dengan pihak penaja dan ibu bapa kita untuk belajar bersungguh-sungguh? Lebih penting lagi, bukankah kita telah berjanji dengan Allah SWT untuk memanfaatkan peluang kehidupan sebagai seorang pelajar yang telah dipinjamkan-Nya kepada kita sebagai medan untuk kita mengutip ilmu, pengalaman dan pahala buat bekalan di akhirat sana?

Elakkan menipu ketika peperiksaan. Andai penjaga peperiksaan meminta kita berhenti menulis kerana masa sudah tamat, jangan pula kita terus menulis. Sebaliknya sebutlah
 "Bismillahi tawakkaltu 'ala Allahi wala haula wala quwwata illa billahil 'azim."

07.Tepati waktu

"Dan mereka yang tetap memelihara solatnya." [23:9]

Konsep yang boleh diambil dalam konteks kehidupan seorang pelajar Muslim ialah supaya sentiasa belajar dengan berdisiplin, menepati masa, tidak berlengah-lengah, menjaga kualiti dan produktiviti harian kita. Jika sebelum ini kita diingatkan supaya berhenti menulis apabila tamat masa peperiksaan, kita juga perlu memulakan perjuanganan kita dalam pelajaran dan peperiksaan seawal yang mungkin. Memelihara solat lima kali sehari setiap hari juga mengajar kita untuk tidak berputus asa atau berpatang arang di pertengahan jalan.

Namun janganlah kita hanya mengaplikasikan konsep-konsep ini untuk akademik semata-mata. Penekanan utama dalam ayat tersebut supaya kita menjaga hubungan kita dengan Allah SWT kerana kita akan kembali mengadap-Nya dengan amal-amal kita, bukan dengan berapa gulung ijazah yang berjaya kita perolehi. Belajar dan ijazah hanyalah alat untuk kita mencapai keredhaan Allah SWT dan merebut peluang mewarisi syurga-Nya.

" Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi. Iaitu yang akan mewarisi Syurga Firdaus. Mereka kekal didalamnya." [23:10,11] 
" ....Maka di antara manusia ada yang berdoa: 'Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia.' Dan tiadalah baginya bahagian di akhirat."[2:200] 

"Dan di antara mereka ada orang yang berdoa: Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari seksa neraka." [2:201]

"Mereka itulah orang-orang yang mendapat bahagian dari apa yang mereka usahakan dan Allah sangat cepat perhitungannya." [2:202]

- Artikel jariyangmenari.blogspot.com


Sunday, December 25, 2011

Tinggal solat kerana tertidur tak dikira cuai


Persoalan Agama: Tinggal solat kerana tertidur tak dikira cuai
Bersama Ustaz Zahazan Mohamed
BHOnline,Ruangan Agama 2011/05/08

Apa yang perlu saya lakukan sekiranya saya terlambat bangun untuk sembahyang Subuh?
AHMAD,
Rawang, Selangor. 

AL-HAMDULILLAH wassolatuwas salam ‘ala Rasulillah.

Allah SWT berfirman dalam surah an-Nisa’ ayat 103 yang bermaksud: “Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan ke atas orang yang beriman yang tertentu waktunya.” 

Jika saudara tertidur sehingga keluar waktu solat Subuh, maka saudara hendaklah segera bersiap-siap untuk mengqada solat Subuh. Jika tertinggal solat Zuhur umpamanya, dan dia sedar pada waktu Asar, maka hendaklah ia segera qadhanya pada waktu Asar.

Mengqada solat adalah wajib, manakala menyegerakannya adalah sunat seperti satu hadis yang diriwayatkan Muslim, daripada


Anas bin Malik ra, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila tidur salah seorang kamu sehingga meninggalkan solat atau terlupa daripadanya, maka hendaklah ia segera solat apabila ia teringat kerana Allah SWT berfirman: “Dirikanlah kamu akan solat untuk mengingati-Ku.” 

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abi Qatadah, beliau berkata: “Mereka menyebut kepada Nabi SAW tentang tidur mereka sehingga terlepas waktu solat. Maka Baginda bersabda: Tidaklah sebab tidur dikira kecuaian. Kecuaian itu hanya dikira sekiranya dalam keadaan jaga. Maka apabila salah seorang kamu lupa sembahyang, atau tidur lena sehingga meninggalkan sembahyang, maka hendaklah ia sembahyang apabila dia ingat.” 

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim bahawasanya Saidina Umar datang pada Hari Khandaq, sesudah terbenamnya matahari, yang mana dia mencaci orang kafir Quraisy seraya beliau berkata: “Wahai Rasulullah, aku hampir tidak solat Asar, sehingga hampir matahari masuk (terbenam).  Maka Nabi SAW menjawab: Demi Allah aku pun belum sembahyang. Maka Baginda berwuduk dan kami pun berwuduk. Maka Baginda sembahyang Asar sesudah matahari masuk (terbenam), kemudian Baginda mengerjakan sembahyang Maghrib sesudahnya.

Demikianlah, Wallahua’lam. 

Artikel:jariyangmenari.blogspot.com

Saturday, December 24, 2011

Urus emosi, minda berdepan kerenah manusia


Urus emosi, minda berdepan kerenah manusia


Kawal marah secara profesional dapat erat silaturahim, tingkat kesempurnaan iman 

DALAM menjalankan tugas seharian, kita sentiasa berhubung dengan pelanggan, rakan sejawatan serta majikan. Perhubungan tiga penjuru dengan kategori kumpulan yang berbeza watak, peribadi dan sifat ini memerlukan kemahiran interpersonal dan kekuatan mengurus perasaan dan minda supaya kerja dijalankan secara profesional, bermanfaat dan mengundang rahmat Ilahi.


Profesionalisme bukan sekadar dilihat pada hasil atau output kerja semata-mata. Sebaliknya, yang sering menjadi asas penilaian serta kepercayaan terutama bagi pelanggan ialah cara berurusan dan layanan baik kepada mereka. Syarikat ternama dengan produknya yang berkualiti juga boleh terjejas imejnya di kalangan pelanggan hanya disebabkan oleh panggilan telefon yang tidak dijawab dengan mesra oleh telefonis atau tutur kata dan layanan yang kurang sopan, bertimbang rasa, betul, mesra dan berhemah.

Oleh kerana itulah, pelbagai garis panduan perkhidmatan dikeluarkan sama ada kepada penjawat awam mahupun swasta untuk memastikan perkhidmatan dan imej berkualiti diberikan oleh pekerja. Antaranya, Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam Bil 1/1991-Panduan Meningkatkan Kualiti Layanan Urusan Melalui telefon. 

Dalam menjaga hubungan interpersonal dan berurusan dengan pelanggan, Islam telah mengenengahkan satu kaedah efektif yang mudah dan murah iaitu dengan mengurus kemarahan. Mengurus kemarahan bererti menahan serta mengawalnya di mana-mana dan dengan sesiapa jua adalah kaedah yang sangat efektif untuk menzahirkan profesionalisme apabila berurusan dan bertindak khasnya di tempat kerja. 


Sabda Rasulullah SAW daripada Abu Hurairah yang bermaksud: “Seorang lelaki telah berkata kepada nabi SAW, berikanlah wasiat kepadaku. Jawab nabi, janganlah engkau marah. Kemudian diulang beberapa kali. Janganlah engkau marah”. (Hadis riwayat Bukhari) 

Pesanan Rasulullah SAW ini sungguh ringkas, tapi tips yang sangat berguna. Ia bermaksud mengawal dan menahan nafsu kemarahan yang berlebihan dan membawa keburukan. Bukannya bermaksud menghilangkannya kerana itu mustahil bagi tabiat semula jadi makhluk dan juga kerana kemarahan yang betul cara ia diluahkan dan sesuai dengan keadaan dan masanya juga mempunyai manfaat. Iaitu marah yang tidak mengikut rasa hati semata-mata atau kerana membalas dendam atau kerana sesuatu yang remeh dan kecil kesannya, apatah lagi marah tanpa sebab. Sebaliknya, marah kerana kebenaran dan dengan cara yang baik telah dipohon oleh baginda dalam doanya bermaksud: “Aku mohonkan kepada Engkau kalimah kebenaran pada ketika marah dan reda.” 

Pelbagai kategori manusia dengan sifat marah dan pelbagai kaedah mengurusnya ditentukan oleh Rasulullah SAW sebagai latihan kita ketika berdepan dengan kerenah dan sikap manusia yang pelbagai khasnya di tempat kerja. Menurut Imam al-Ghazzali manusia dengan kemarahannya terbahagi kepada tiga kategori. 
Pertama, individu yang cepat marah dan cepat reda dan hilangnya; kedua, lambat marah dan lambat pula reda dan hilangnya dan ketiga lambat marah dan cepat reda dan hilangnya. Justeru, jenis yang ketiga inilah yang terpuji. 

Antara kaedah mengurus kemarahan ialah dengan duduk sekiranya sedang berdiri, dengan berdiam seketikanya sedang berkata-kata, mengambil wuduk, memperbanyakkan beristighfar, bertaw’iz dan memperbanyakkan berdoa agar menjadi insan yang tenang dan sabar. 

Abu Zar al-Ghifari berkata bahawa Rasulullah saw pernah berkata kepada kami: “Apabila kamu marah dalam keadaan kamu sedang berdiri, maka duduklah supaya hilang kemarahan. Jika masih belum hilang, maka hendaklah kamu baring”. 

Semua cara ini adalah untuk mengembalikan ketenangan berfikir supaya dapat membuat pertimbangan yang adil serta menyejukkan hati yang panas serta menjauhkan diri dari godaan syaitan. 


Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Kemarahan itu daripada syaitan dan syaitan diciptakan dari api. Api dipadamkan oleh air. Oleh itu, jika ada di antara kamu yang merasa marah, hendaklah ia mengambil wuduk. (Riwayat Imam Ahmad) 

Mengurus kemarahan bukan saja dapat mewujudkan perhubungan yang baik sesama manusia bahkan dapat menghindarkan daripada kemurkaan Allah SWT seperti yang dinyatakan oleh sahabat Rasulullah SAW, Amru bin al-As serta dijanjikan syurga baginya. 

Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran, ayat 133-134 bermaksud: “Dan bersegeralah kamu kepada keampunan daripada Tuhan kamu dan mendapat syurga yang seluas langit dan bumi, dan disediakan bagi sekalian yang bertakwa iaitu mereka yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan mereka yang menahan kemarahan dan memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah) Allah Maha mengasihi mereka yang melakukan kebaikan.” 

Muhammad bin Ka’ab pula diriwayatkan berkata bahawa seseorang itu akan memiliki kesempurnaan iman dengan tiga sifat iaitu jika dia gembira, kegembiraannya tidak menjebakkannya kepada kebatilan; jika dia marah, kemarahannya tidak memesongkannya daripada kebenaran dan jika dia berkuasa, dia tidak mengambil sesuatu yang bukan daripada haknya. 

Apabila sifat marah dapat dikawal, sifat tenang, sabar, bertimbang rasa dan maaf dengan lebih mudah akan menyubur dalam hati. Marah tidak boleh berkawan dengan sifat baik pada masa yang sama. 
Marah, perkara yang kecil boleh menjadi besar, orang yang tidak bersalah boleh menjadi mangsa, tindakan dan keputusan yang diambil akan terjejas, nada dan intonasi suara menjadi tinggi dan mengundang suasana tegang dan tidak disenangi oleh pelanggan dan rakan sekerja. Akibatnya, kerana nyamuk seekor, habis kelambu dibakar. Kerana nila setitik, habis susu sebelanga. 

Mengurus kemarahan perlu dilatih untuk mengawal emosi dan memelihara perhubungan interpersonal. Oleh itu, marilah kita mengurus kemarahan dengan cara yang profesional semasa berinteraksi dan berkomunikasi sesama pelanggan, rakan dan majikan untuk membentuk perseki-taran kerja yang harmoni, serta menjaga imej organisasi, menguatkan kepercayaan pelanggan, menjauhkan diri daripada kemurkaan Ilahi serta meningkatkan kesempurnaan iman. 


Artikel:jariyangmenari.blogspot.com

Monday, December 12, 2011

Buku Teragung & Terhebat.


Buku Teragung & Terhebat.

Pencinta buku lazimnya mengumpul buku yang banyak, dan menghabiskan masa kebanyakannya dengan membaca buku. Ketika membaca buku, akan terasa bahagia dan tenanglah jiwa dan perasaan.

Pada kali ini, saya ingin mengajak kepada para pencinta buku sekalian, untuk berbicara mengenai sebuah buku (kitab) yang cukup agung. Walau betapa banyak, hebat dan banyaknya buku yang anda temui sehingga berjilid-jilid lalu anda baca, semua buku itu tidak akan mampu sebuah buku (kitab) yang hanya berjumlah sejilid ini.

Ketahuilah, buku (kitab) yang saya maksudkan di sini adalah kitab Al-Qur'an.

Sebanyak mana pun buku yang kita baca, dan sehebat mana pun buku yang kita baca, ianya tidak akan mengandungi manfaat yang terkandung di dalam kitab Al-Qur'an. Ini kerana, kitab Al-Qur'an, bukanlah ciptaan dan tulisan manusia, melainkan ianya adalah kalam Allah Subhanahu wa Ta'ala dan bukannya makhluk. Ianya berasal daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala yang Maha Sempurna. Oleh itu, padanya tiada cacat-cela dan kekurangan sedikit pun.

Al-Qur'an adalah wahyu dan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala yang diturunkan kepada Nabi Muhammad Shallahu 'alaihi wassalam melalui perantaraan malaikat Jibril 'Alaihissalam.

Wahyu pertama yang diturunkan adalah surah Al-'Alaq; ayat 1-5 yang berbunyi:

"Bacalah (Wahai Muhammad) Dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan (sekalian makhluk), ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya." [Surah Al-'Alaq: 1-5]

Al-Qur'an adalah sumber dan dasar bagi agama Islam. Ianya mengandungi petunjuk dan hidayah menuju Allah Subhanahu wa Ta'ala. Di dalam Al-Qur'an terdapat sumber segala ilmu pengetahuan, sama ada ilmu yang berkaitan dengan dunia atau pun akhirat.



Telah berkata Abdullah bin Mas'ud di dalam sebuah athar yang sahih dengan katanya:

"Siapa yang mahukan ilmu maka hendaklah dia mengkaji Al-Qur'an, sesungguhnya didalamnya ilmu generasi yang awal dan yang akhir." [Diriwayatkan oleh Al-Baihaqi dalam Syu'ab Al-Iman, Ath-Thabrani dalam Mu'jam Al-Kubra, Abi Syaibah dalam Musannaf Abi Syaibah. Diriwayatkan oleh Al-Haithami dalam Majma' Az-Zawaid, berkata beliau: Dengan banyak sanad, perawi-perawi salah satu sanadnya adalah Shahih. Sumber Dorar.net]

Renungilah wahai para pencinta buku, sekiranya kita mampu membaca buku beratus muka surat dalam masa sehari, tanpa merasa jemu. Sedangkan para masa yang sama, kita mengesampingkan bacaan Al-Qu'ran itu adalah satu kecacatan bagi pencinta buku.

Jika kita membaca sirah dan kisah kehidupan para Salafus soleh terdahulu, kita pasti akan mendapati betapa mereka mementingkan membaca Al-Qur'an, mengkhatamkannnya dan memahaminya.

Bacalah Al-Qur'an. Sesungguhnya, tiadalah yang membacanya melainkan akan mendapatkan manfaat. Seterusnya renungilah apa yang terkandung di dalamnya dengan membaca tafsirnya berdasarkan pemahaman para ulama Salafus soleh yang diriwayatkan di dalam kitab-kitab tafsir terkenal seperti tafsir Jami' al-Bayan karya Ibnu Jarir At-Tabari, Tafsir Al-Qur'an Al-'Adzim karya Ibnu Kathir dan kitab-kitab tafsir bil ma'tsur yang lain...

P/S: Tidak sempurna kecintaan terhadap buku, selagi tidak mencintai Al-Qur'an.

Article:http://www.jariyangmenari.blogspot.com/



Sunday, December 11, 2011

Semangat kejiranan asas keutuhan negara


Semangat kejiranan asas keutuhan negaraAgama


KEHIDUPAN manusia kini mencapai tahap ketamadunan yang tinggi tetapi pada masa sama manusia tergelincir daripada hakikat kehidupan sebenar.

Punca kerosakan dalam kehidupan ini disebabkan sikap individualistik yang sebati dalam diri manusia. Kongkongan sifat ini menyebabkan manusia menjadi sombong, bongkak dan angkuh sehingga terpaku kukuh sifat ego dalam diri.
Sifat ini juga menyebabkan generasi dewasa ini mencemari budaya murni yang diamalkan sejak turun temurun antaranya budaya hidup berjiran. Menjadi tanggungjawab kita memupuk budaya kejiranan yang menjadi asas keharmonian kehidupan.
Hubungan intim dengan jiran membolehkan seseorang menjadikan jiran tempat mengadu dan meminta bantuan atau pertolongan apabila sesuatu kesusahan menimpa. Penghidupan berjiran dipenuhi unsur kerjasama, kesepakatan dan keprihatinan.

Amalan hidup berjiran dulu dan kini, amat berbeza. Budaya hidup berjiran tidak lagi diamalkan. Masyarakat hari ini mengabaikan hubungan dengan orang yang tinggal berdekatan.
Allah berfirman bermaksud: “Dan sembahlah Allah dan jangan kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun dan buatlah kebaikan untuk ibu bapa, anak yatim, orang miskin, jiran yang ada hubungan kekeluargaan, jiran tiada hubungan kekeluargaan, orang dalam perjalanan dan hamba sahaya. Sesungguhnya Allah tidak suka orang sombong dan bangga diri.” (Surah An-Nisa, ayat 36) 

Hubungan kemasyarakatan kian renggang ada kaitan dengan sikap suka hidup tanpa gangguan. Kemewahan dikecapi menyebabkan individu merasakan tidak perlu bergantung kepada orang lain.
Aktiviti mem budayakan semangat kejiranan kian berkurangan akibat peredaran zaman. Aktiviti bergotong-royong jarang diamalkan.

Apakah arus pemodenan menuntut masyarakat berkelakuan sedemikian, sedangkan dalam agama hidup berjiran adalah kewajipan perlu dipenuhi bagi menjamin kerukunan dan keharmonian hidup.

Selain tuntutan agama, kehidupan berjiran penting untuk negara kerana keutuhan dan kekuatan sesebuah negara boleh diukur melalui semangat kejiranan yang ada pada warganya. Lebih-lebih lagi Malaysia didiami pelbagai kaum memerlukan rakyat bersatu mewujudkan negara maju.

Justeru, sudah tiba masanya kita mengorak langkah menghidupkan semula semangat kejiranan demi keharmonian hidup dan kesepaduan masyarakat menjadi benteng kukuh kepada pertahanan negara. 


Artkel:jariyangmenari.blogspot.com

Saturday, December 10, 2011

Amal doa pagi, petang atasi masalah jiwa


Persoalan Agama: Amal doa pagi, petang atasi masalah jiwa


BHOnline Ruangan Agama 2011/05/15

MENGAPA orang sekarang lebih banyak yang mengalami gangguan jiwa daripada orang dulu, sedangkan mereka sudah memiliki harta yang banyak. Ada yang mengatakan mereka sudah memiliki segala-galanya, namun jiwa terasa kosong. Boleh ustaz jelaskan.

FIRDAUS,
Kuala Lumpur.


Alhamdulillah wassolatuwassalam ‘ala rasulillah waba’d.
Imam Muhammad Mutawalli Asy-Sya’rawi menjelaskan dalam kitab beliau Anta Tas’alu wa Islaamu Yujiibu seperti berikut: “Orang beriman menghadapi tiap persoalan kehidupan dunia dengan memohon pertolongan Allah dan bertawakal kepada-Nya. Apabila ia gagal mencapai apa yang dicita-cita, ia tidak susah hati dan bersedih meskipun ia sedar bahawa kegagalan itu adalah kerana persediaan yang kurang sempurna. 

Orang yang tidak beriman bergantung nasib dalam usahanya kepada kesempurnaan persediaan. Apabila gagal, dia gelisah, fikirannya terganggu, hatinya risau, takut yang menyebabkan sakit jiwa dan akhirnya bunuh diri. Keadaan seperti ini banyak kita jumpa di negara maju bukan Islam. Negara seperti ini ramai rakyatnya terkena gangguan jiwa.

Lalu orang pun bertanya mengapakah di negara maju berlaku ramai yang menghidap gangguan jiwa? Bukankah yang sepatutnya kena adalah masyarakat di negara yang sedang berkembang atau negara yang mundur?
Mereka iaitu orang yang mengabdikan diri dengan ilmu pengetahuan dan membuang agama dari diri. Apabila keimanan lenyap dari jiwa manusia, akan lenyaplah ketenangan, ketenteraman, kebahagiaan dan rasa reda. 

Apabila jiwa kosong dari iman, lalu ia terjun ke dalam perjuangan hidup untuk memiliki kekuasaan dan ia gagal, maka mudah saja ia terkena gangguan jiwa dan menjadi gila. Seorang Muslim yang tidak memiliki iman yang kuat, mudah terkena penyakit itu. Dalam kesibukannya ia lupa kepada Allah SWT lalu Allah SWT pun melupakannya. 

Yang dikerjakan dan diusahakannya hanyalah mengumpul harta dan hidup mewah. Apabila lupa itu dibiar berlarutan tanpa cuba diatasi, ia akan membawa kepada kufur akan nikmat Allah, lalu ia akan lupa diri, hilang kebahagiaan atau mudah sakit jiwa. 

Nabi SAW menyuruh umatnya agar mengamalkan doa pagi dan petang bagi mengatasi masalah jiwa, antaranya seperti diriwayatkan oleh Abu Daud, daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a iaitu: 

“Allahumma inni a’uzubika minal hammi walhazan. Wa’a’uzubika minal ‘ajzi wal kasal wa’a’uzubika minal jubni wal bukhli, wa ‘a’uzubika min ghalabatid daini waqahrir rijaal (yang bermaksud: Ya Allah aku berlindung kepada-Mu daripada rundungan sedih dan duka. Aku berlindung kepada-Mu dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut. Aku berlindung kepada-Mu dari beban hutang dan penindasan orang).” 

Kedua, hendaklah mendekati al-Quran dengan membaca, memahami dan berusaha mengamalkannya dalam kehidupan nescaya anda akan menemui kebahagiaan bukan saja di dunia tetapi juga di akhirat. 
Al-Quran adalah penyembuh yang paling berkesan mengubat penyakit jiwa seperti firman-Nya dalam surah Yunus ayat 57 yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya sudah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang yang beriman.”  

wallahua’lam. 


Artikel:jariyangmenari.blogspot.com

Friday, December 9, 2011

Boleh tutup telefon bimbit berdering ketika bersolat



BHOnline Ruangan Agama (2011/11/08)

Kalam Imam Muda Asyraf October 25th, 2011


Pergerakan dibenarkan kerana maslahah jaga khusyuk


SOLAT memerlukan tumpuan kerana apabila perhatian terganggu, ia mampu mengurangkan pahala solat. Sebab itu Islam amat menitik beratkan persoalan persediaan sebelum solat termasuk menetapkan hati yang tenang serta memakai pakaian bersih.Persediaan juga mengambil kira mengelak daripada perkara yang boleh mengganggu solat seperti kerap berlaku sekarang ini, bunyi deringan telefon bimbit. Perkara ini penting kerana bunyi deringan telefon itu boleh mengganggu solat kita serta jemaah lain.Deringan bunyi telefon terkadang menghasilkan lagu dan bunyi yang jelas mampu menghalang jemaah terus khusyuk ketika solat sedangkan khusyuk satu tuntutan penting dalam solat.


Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya beruntunglah orang yang beriman, iaitu orang yang khusyuk dalam solatnya.” (Surah al-Mukminun, ayat 1-2)


Nabi Muhammad SAW sendiri pernah menghalang sahabat memperdengarkan bacaan ayat suci al-Quran dengan nyaring ketika orang lain sedang solat.


Diriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudri, Rasulullah SAW apabila pergi ke masjid untuk beriktikaf dan Baginda mendengar al-Quran dibaca secara kuat, Baginda berkata: “Setiap kamu bercakap secara rahsia dengan Allah, maka janganlah mengganggu yang lain atau meninggikan suara melebihi orang lain apabila membaca al-Quran (atau apabila bersolat).” (Hadis riwayat Abu Daud)


Berdasarkan hadis, jika al-Quran juga dilarang diperdengarkan kerana boleh mengganggu solat, apatah lagi bunyi deringan telefon. Sudah tentu dilarang dan sebab itu wajib bagi ingin menunaikan solat menutup telefon bimbit sebelum melakukan solat sama ada bersendirian atau berjemaah.


Namun persoalan berbangkit, bagaimana jika kita terlupa menutupnya sebelum bersolat dan telefon berdering. Adakah kita perlu menghentikan solat, menggerakkan anggota tubuh untuk mematikan telefon bimbit atau membiarkan saja telefon terus berdering.


Jawapan paling tepat di sini ialah mematikan telefon tanpa membatalkan solat. Maksudnya, orang yang sedang solat dibenarkan bergerak sedikit anggota badan lalu menutup telefon itu. Pergerakan ini dibenarkan dalam solat kerana maslahah menjaga khusyuk solat lebih besar daripada terus membiarkan telefon berbunyi sepanjang kita bersolat.


Persoalan ini termasuk dalam perbahasan hukum pergerakan dalam solat. Perbuatan tidak termasuk dalam perbuatan solat jika dilakukan dengan banyak maka ia terbatal tetapi jika dalam kuantiti sedikit membabitkan anggota kecil, maka dibolehkan.


Cuma di sini, ulama berselisih pandangan mengenai ukuran banyak atau sedikit. Dalam mazhab Syafie, jika dilakukan melebihi tiga kali dan secara berturutan maka ia membatalkan solat.


Namun bagi Imam an-Nawawi, ia turut mendatangkan contoh pergerakan yang sedikit seperti memberi isyarat ketika menjawab salam, melepaskan serban atau meletakkannya, menggosok lendir yang terlekat di baju dan lain-lain lagi.


Banyak juga keterangan hadis menceritakan pergerakan Nabi SAW dan sahabat ketika sedang solat kerana maslahah tertentu. Contohnya, pergerakan Nabi SAW memegang telinga Ibnu Abbas untuk memindahkannya daripada sebelah kiri ke sebelah kanan Baginda.


Pergerakan yang banyak ini sudah dijelaskan oleh Ibn Battal bahawa inilah maslahah digunakan Nabi SAW dalam memelihara solatnya daripada terganggu.


Begitu juga kisah Nabi SAW sendiri pernah solat dalam masjid sambil mendukung cucunya Umamah. Apabila rukuk, Baginda akan meletakkan cucunya di bawah dan apabila bangun, Baginda akan mendukung cucunya kembali.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)


Sebahagian cendekiawan Islam menolak dalil pergerakan Nabi SAW sebagai hujah untuk membolehkan kita mematikan telefon bimbit ketika solat kerana kata mereka ia khusus kepada Nabi SAW. Bahkan ada sebahagian mengatakan pergerakan dilakukan Nabi SAW itu boleh jadi tidak dilakukan secara berturut-turut melebihi tiga kali.


Namun, pendapat mereka masih tidak kukuh disebabkan ada juga sahabat melakukan pergerakan yang banyak apabila terdapat maslahah mendesak. Di samping itu, tiada jaminan Nabi SAW tidak bergerak melebihi tiga kali berturut.


Bahkan ia adalah perkara ijtihadiyyah Imam Syafie yang memang terkenal sebagai imam yang amat berhati-hati dan menjaga kesempurnaan solat. Ini suatu yang baik jika kita ingin mengambil pendekatan Imam Syafie.


Bagaimanapun, dalam kes mematikan telefon, ini keperluan mendesak. Ia boleh dikategorikan sebagai pergerakan yang wajib dilakukan ketika solat kerana larangan mengganggu jemaah lain yang sedang solat adalah wajib.


Oleh itu, perbuatan mematikan telefon dimasukkan dalam perbahasan yang sama seperti keharusan bergerak untuk membunuh binatang buas yang mengancam. Ia diqiyaskan kepada hadis Nabi SAW yang mengizinkan untuk membunuh binatang bisa kecil ketika solat.


Diriwayatkan: “Sesungguhnya Nabi SAW mengarahkan supaya membunuh dua binatang buas walaupun ketika solat iaitu kala jengking dan ular (jika ia menghampiri ketika solat).” (Hadis riwayat Ibn Majah).


Justeru, dapat difahami bahawa wajib bagi seseorang untuk mematikan bunyi telefon bimbitnya kerana ia merosakkan ketenangan orang yang sedang solat, seperti mana bahayanya kala jengking dan ular.


Namun pergerakan itu mestilah dibatasi supaya tidak terlalu melampau sehingga melambangkan seolah-olah tidak ada perbezaan antara orang yang melakukan solat dan orang belum mengerjakan solat.

Artikel:jariyangmenari.blogspot.com

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Grants For Single Moms