There was an error in this gadget

Monday, November 28, 2011

Rahsia jari


Rahsia jari
Pelbagai hikmah dan tafsiran yang boleh diandaikan di sebalik jari anda yang lima. Cuba perhatikan perlahan-lahan jari anda. Luruskan ia ke hadapan dalam keadaan terbuka. Renung dalam-dalam. Kewajipan solat lima waktu jangnlah sesekali anda abaikan.
Kemudian lekapkan jari itu di atas meja, perhatikan. Bermula daripada jari kelingking yang kecil dan kerdil, seperti manusia dan apa sahaja akan bermula daripada kecil kemudian besar dan terus membesar. Itulah fitrah insan dan alam seluruhnya Apa sahaja yang dilakukan mesti bermula daripada kecil. Bak kata pepatah “Melentur buluh biarlah daripada rebungnya”. Kegagalan dalam mendidik di usia ini akan memberi kesan yang besar pada masa hadapan.

Naikkan pula dari anda yang kedua, jari manis namanya. Begitu juga dengan usia remaja. Manisnya seperti jari yang comel mulus ini. Apatah lagi kiranya disarungkan dengan sebentuk cincin bertatahkan berlian, bangga tak terkira..pada ketika ini, alam remaja menjengah diri. Awas!! Di usia ini kita akan sentiasa dibelenggu dengan pelbagai cabaran dan dugaan. Hanya iman dan taqwa sahajalah yang akan membantu kita menunjukkan jalan kebenaran. Pada usia ini, anda sudah baligh dan mukalaf. Pastinya
sudah dipertanggungjawabkan segala amalan di hadapan Rabbul Jalil. Bersediakan anda akan pada waktu itu?
Nah..sekarang anda naikkanlah pula jari ketiga, Jari yang paling tinggi, jari hantu namanya. Zaman remaja telah pun meninggalkan kita tanpa dipinta. Namun begitu alam dewasa pula kian menjegah kehidupan kita. Pada peringkat umur 30-an ini seorang itu telahpun mempunyai status dan identiti dengan ekonomi diri yang bolehlah dikatakan kukuh serta mempunyai sebuah kerjaya yang teguh. Namun, anda mesti berhati-hati kerana di kala ini begitu banyak “hantu-hantu pengacau” yang datang menggoda.. Hantu hasad dengki, hantu ego, hantu tamak dalam diri sendiri, hantu iri hati dan seribu macam hantu lagi yang boleh wujud dalam diri anda jika anda gagal mengawal emosi ini dengan baik lantas anda terus masuk ke jerangkap NAFSU dan SYAITAN. Justeru itu amal dan ibadat haruslah dilipatgandakan!
Kita beralih pula pada jari telunjuk. Jari inilah yang mengungkap SATU dan Esanya Allah SWT ketika solat. Genggamkan kesemua jari dan keluarkan jari ini. Gagahkan ia sebagai penunjuk arah, menjadi contoh dan tauladan. Manusia yang berada di tahap usia ini, hendaklah tampil sebagai model kepada generasi baru dan membimbing yang kaya dengan idea bernas sambil tampil dengan minda yang hebat.

Akhir sekali, renung ibu jari anda. Ianya besar dan pendek tetapi menunjukkan kematangan dan kehebatan yang membanggakan. tugasnya adalah membenarkan sesuatu mentafsir pelbagai perkara. Bak kata oranj Jawa “cap jempol” atau cap jari. Kalau dia ada, semua urusan berjalan lancar. Buat generasi muda, rujuk dahulu kepada orang tua atau yang berpengalaman. Sekiranya petunjuk mereka anda patuhi, nescaya mereka akan berkata “good” atau “yes” sambil menggenggam semua jari dan akan angkat ibu jari ke atas itulah rahsia kejayaan anda.
Akhir kalam dari Suri, cubalah anda perhatikan kembali akan kelima-lima jari jemari anda itu. Renung dan fikirkanlah dalam-dalam. Dimanakah anda sekarang??
Article:jariyangmenari.blogspot.com

Saturday, November 26, 2011

Mengapa Mesti Kembali Kepada Jahiliah?


Mengapa Mesti Kembali Kepada Jahiliah?

Daripada 'Amru bin al-'Ash r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda kepadanya yang bermaksud : " Tidakkah engkau ketahui bahawa Islam itu meruntuhkan apa yang ada sebelumnya, hijrah menghapuskan apa yang ada sebelumnya dan sesungguhnya haji itu menghapuskan apa yang ada sebelumnya.'(Riwayat Muslim)
Mengapa Mesti Kembali Kepada Jahiliah?

Pembaharuan yang dimaksudkan di sini bukan sahaja terbatas dalam bidang agama, tetapi mencakupi semua aliran pemikiran yang pernah diguna pakai oleh umat Muslimin untuk membangun dan memajukan ummah. Dalam era baru zaman kini umat Islam daripada semua lapisan dan peringkat umur wajib mengembalikan diri masing-masing kepada cara hidup yang menjanjikan kekuatan.

Segala-galanya bertujuan menebus kembali maruah dan martabat diri. Kekuatan yang wajib dikembalikan ialah kekuatan iman yang akan melahirkan usaha dan amalan produktif, kemajuan dan pembangunan yang kukuh. Segala-galanya bertunjangkan kepada nilai akhlak tinggi berdasarkan al-Quran dan al-sunah yang didatangkan bukan untuk membawa keruntuhan tetapi meninggikan pencapaian akhlak dan pengertiannya. 

Malangnya masih wujud sebilangan besar masyarakat yang mengambil unsur negatif dari kehidupan zaman jahiliah yang bertentangan dengan agama dan kemanusiaan sebagai jalan pintas menjalani kehidupan yang diinginkannya. Inilah antara penyakit yang sedang menjalar dan menular pantas dalam nadi masyarakat Islam hari ini menyebabkan keruntuhan Islam. Oleh itu pembaharuan sikap dan pemikiran amat perlu bagi membolehkan umat Islam mencapai kemajuan serta kecemerlangan dalam membina kehidupan yang lebih baik seterusnya mendapat keredaan Allah SWT.

Mereka ingin supaya kamu menjadi kafir sebagaimana mereka telah menjadi kafir, lalu kamu menjadi sama (dengan mereka). Maka janganlah kamu jadikan di antara mereka penolong-penolong (mu), hingga mereka berhijrah pada jalan Allah. Maka jika mereka berpaling, tawan dan bunuhlah mereka di mana saja kamu menemuinya, dan janganlah kamu ambil seorang pun di antara mereka pelindung, dan jangan (pula) menjadi penolong(Surah An-Nisa' 4: Ayat ke 89)


Article:jariyangmenari.blogspot.com


Saturday, November 19, 2011

3 Surah Amalan Pada Waktu Malam...


3 Surah Amalan Pada Waktu Malam...

Sempena menyambut Tahun Baru 1433 Hijrah, saya tujukan tulisan ini khusus buat anda yang beragama Islam. Iaitu berkenaan 3 surah yang digalakkan oleh Rasulullah SAW agar anda membacanya setiap malam. Surah yang dimaksudkan adalah Surah Yasin, Surah Al Mulk dan juga Surah Al Waqiah.
Ini kerana, ketiga-tiga surah ini mengandungi ayat-ayat yang mengajak manusia menginsafi akan keagungan Allah dan segala ciptaan-Nya di samping sentiasa mensyukuri segala nikmat kurniaan-Nya.
Malah, ia juga mengandungi khabar gembira dan khabar duka mengenai keadaan di syurga mahupun neraka.
Sebenarnya, membaca setiap surah yang dinyatakan kat atas mempunyai kelebihan tersendiri. Sebagai contoh, dengan membaca Surah Al Mulk ni dapat menghindarkan diri anda daripada azab kubur serta akan memperolehi pahala dan kebaikan yang berlipat kali ganda.

Mengenai Surah Al Waqiah pula, Rasulullah SAW telah bersabda:

"Sesiapa yang membaca Surah Al Waqiah pada setiap malam, kebuluran tidak akan mengenainya"- Riwayat Al-Baihaqi, dari Abdullah bin Mas'ud

Walaubagaimanapun, kalau anda tak mampu nak membaca kesemuanya sekaligus, memadailah dengan membaca salah satu daripadanya. Mudah-mudahan, dengan mengamalkan bacaan 3 surah ini setiap malam bermula tahun baru ni dapat menambahbaik diri anda dan saya berbanding tahun lepas.

Article:jariyangmenari.blogspot.com

Friday, November 18, 2011

Selamat Tahun Baru... Selamat berhijrah



Selamat Tahun Baru... Selamat berhijrah


"HIDUP INI INDAH JIKA SEGALANYA KERANA ALLAH"

1. Hijrah amal dan ketaatan

Sesungguhnya kehadiran kita di muka bumi adalah untuk beramal dan beribadat kepadaNya. Justeru itu, marilah kita sama-sama berazam dan berusaha untuk memperbaiki dan meningkatkan amalan dan ketaatan kepadaNya (Tuhan yang Maha Esa).

2. Hijrah sikap dan perbuatan

Siapa diri kita sebenarnya boleh dilihat melalui perbuatan kita sehari-hari.  Perbuatan yang dilakukan secara berulang-ulang akan menjadi suatu tabiat dan jika tabiat itu sentiasa dilakukan, maka ianya membentuk sikap. Kemudiannya sikap akan membentuk personaliti diri. Justeru itu, marilah kita sama-sama berazam dan berusaha untuk meninggalkan perbuatan yang negatif dan digantikan dengan perbuatan-perbuatan yang positif setiap hari.

3. Hijrah ilmu dan pencapaian

Demi memperolehi sesuatu di dunia perlukan ilmu, begitu juga perkara yang diinginkan di akhirat juga perlukan ilmu. Dengan ilmu, kita akan dapat melakukan sesuatu perkara itu dengan betul dan efektif. Marilah kita sama-sama berazam untuk menimba seberapa banyak ilmu yang diperlukan, di samping itu juga kita berusaha untuk meningkatkan pencapaian hidup kita sama ada dalam aspek kekeluargaan, kerjaya atau masyarakat melalui ilmu yang diamalkan.

4. Hijrah ekonomi dan pemilikan

Semua orang ingin bergelar jutawan, namun tidak ramai yang berusaha untuk menjadi jutawan. Meskipun kita mungkin merasa bahagia dengan apa yang ada kini, namun realitinya kita harus terus meningkatkan keupayaan ekonomi kita supaya dapat membantu keluarga, sanak-saudara dan masyarakat yang masih memerlukan bantuan. Lihatlah di kawasan-kawasan bandar berapa banyakkah premis perniagaan atau kediaman banglo yang dimiliki oleh orang-orang yang seagama dengan kita? Marilah kita sama-sama berjihad untuk meningkatkan ekonomi ummah, supaya kita akan lebih berkuasa dan dihormati.

5. Hijrah kepada Islam yang syumul

Sesungguhnya, segala perubahan yang ingin kita lakukan sempena tahun hijrah atau tahun masihi, hendaklah dimulakan dengan niat kerana ingin beribadat kepada Tuhan yang Maha Esa. Marilah kita sama-sama berhijrah kea rah kebaikan menuju sebuah kehidupan yang mendapat keredhaanNya.

-Selamat Tahun Baru 2012 Masihi & Salam Maal Hijrah 1433 Hijrah-

Article:jariyangmenari.blogspot.com

Wednesday, November 16, 2011

Bakhil, boros sifat tercela di sisi Islam


Bakhil, boros sifat tercela di sisi Islam
Oleh Amran Zakaria
(BHOnline Ruangan Agama 2011/11/15)

WASATIYAH bererti pertengahan menjurus kepada pembentukan sikap, tindakan dan amalan yang tidak radikal dan melampaui batas dalam semua keadaan terangkum dalam kehidupan. Kedudukan pertengahan banyak memperoleh kebaikan kerana berada di tengah-tengah.

Contohnya, keberanian adalah kebaikan tetapi jika berlebihan ia menjadi sombong dan bongkak. Sebaliknya jika berkurangan ia menjadi penakut.

Begitu halnya dengan sifat yakin kepada diri sendiri di mana kelebihannya dapat membantu individu berkaitan melakukan sesuatu dengan sepenuh tumpuan tetapi jika berlebihan akan menjadi riak dan apabila berkurangan menjadi lemah diri.
Sementara sifat pemurah berada di antara bakhil dan boros. Bakhil dan boros disifatkan sebagai buruk yang tercela.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah tangan kamu terbelenggu pada lehermu (kedekut) dan janganlah kamu terlalu menghulurkannya (boros), nescaya kamu akan tercela dan menyesal.” (Surah al-Isra’, ayat 29)

Berkaitan solat, Rasulullah SAW memberi garis panduan kaedah mengeluarkan suara supaya pada tahap pertengahan antara keras dan merendah.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mengeraskan suaramu dalam solatmu dan jangan pula merendahkannya.”
Mengenali umat pertengahan akan menjuruskan kita pada kedudukan diiktiraf Allah sebagai umat terbaik, sederhana dan adil. Apa yang nyata, sebagai umat pertengahan tentu mempunyai sifat khusus yang tidak dimiliki umat lain.
Al-Quran mengesahkan pemilihan umat Islam sebagai umat pertengahan dijadikan contoh kepada yang lain.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan demikianlah Kami jadikan kamu (umat Islam) sebagai umat pertengahan (umat pilihan dan adil) supaya kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan supaya Rasul (Muhammad SAW) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu.” (Surah al-Baqarah, ayat 143)

Pendekatan bersederhana melahirkan peradaban besar dengan spektrum luar biasa hinggakan Islam mampu menguasai dunia.

Pada masa sama, Islam tetap menentang sikap melampau dalam apa bentuk sekalipun.

Sikap melampau boleh menimbulkan kesan negatif terhadap individu, keluarga, masyarakat dan negara dengan pandangan pesimis hingga boleh menggugat pengiktirafan umat pertengahan yang sewajarnya dijadikan contoh kepada generasi massa hari ini.

Ekstremisme adalah jelmaan sikap anti-kesederhanaan yang tidak mendapat tempat dalam norma, doktrin, wacana dan praktik Islam. Sifat melampau seperti ini sememangnya menjadi musuh yang ditentang Islam.

Allah berfirman bermaksud: “Katakanlah: Hai Ahli Kitab, janganlah kamu berlebih-lebihan (melampaui batas) dengan cara tidak benar dalam agamamu. Dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang yang telah sesat dahulunya (sebelum kedatangan Muhammad) dan mereka telah menyesatkan kebanyakan (manusia), dan mereka tersesat dari jalan yang lurus.” (Surah Al-Maidah, ayat 77)

Tidak dinafikan manusia sememangnya mempunyai keinginan tanpa batas. Mereka sentiasa tidak berpuas hati dengan apa yang diperoleh lantas menginginkan sesuatu yang lebih daripada apa dimiliki.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sekiranya anak Adam memiliki satu lembah daripada harta, nescaya ia mahu yang kedua dan sekiranya ia mempunyai dua lembah nescaya ia mahu yang ketiga. Tidak akan memenuhi perut anak Adam melainkan tanah (yakni mati) dan Allah menerima taubat orang yang bertaubat.” (Hadis riwayat Ahmad)

Justeru, jihad melawan nafsu adalah jihad yang besar. Golongan mengutamakan nafsu suka bertindak secara berlebihan dan melampaui batas.

Ilmuwan terkemuka Islam , Sheikh Abu Al-Hassan Al-Nadwi berkata: “Tidak dapat diragukan bahawa radikalisme, ekstremisme, kesempitan dan ketegaran memang wujud. Ini adalah realiti.”

Memahami Islam secara pertengahan sememangnya tidak bersifat liberal dan radikal hingga berkeupayaan membantu penyebaran rahmatnya ke seluruh dunia. 

Article:jariyangmenari.blogspot.com

Saturday, November 12, 2011

Islam benar bergurau asal tak melampaui batasan


Islam benar bergurau asal tak melampaui batasan
Bersama Ustaz Zahazan

Usik mengusik jangan sampai menyakiti hati sesama rakan, mengabaikan tugas hakiki.

Soalan: SAYA mahu bertanya mengenai gurauan. Rasanya saya ada mendengar kalau bergurau atau mendengar perkara melucukan, ia boleh mematikan hati. Bagaimana sekiranya dalam ceramah agama, ustaz yang berceramah asyik membuat lucu. Adakah ia mematikan hati juga. Bolehkan golongan ustaz bergurau atau hanya perlu serius.
Ahmad Kamal, Gombak.

Jawapan: ALHAMDULILLAH wassolatu wassalam ‘ala Rasulillah waba’d. Pertama, hendaklah difahami ajaran Islam seiring dengan fitrah manusia. Tiada satu pun petunjuk dalam Islam yang tidak selaras dengan fitrah atau bawaan manusia yang positif. Mendengar sesuatu yang lucu dan menyegarkan adalah sesuatu yang menyenangkan manusia.

Justeru, pada prinsipnya, Islam tidak mungkin melarang bergurau. Bagaimana mungkin kita kata Islam melarang bergurau padahal al-Quran menyebut dalam surah an-Najm ayat 43 dan 44 yang bermaksud: “Sesungguhnya Dia (Allah) yang menjadikan orang tertawa dan menangis dan Dia pula yang mematikan dan menghidupkan.” 

Perlu juga diakui Islam menuntut penganutnya untuk menghadapi hidup dengan serius, tidak menghabiskan waktu dengan bersantai dan bergurau. 
Justeru, ada beberapa ayat dan hadis melarang bergurau sebagai contoh, Nabi SAW bersabda (yang bermaksud): “Ada orang yang mengucapkan satu kalimat untuk membuat orang sekelilingnya ketawa tetapi mengakibatkan ia meluncur lebih jauh dari bintang Venus menuju ke neraka.” Atau sabda baginda SAW lagi: “Jangan banyak ketawa kerana banyak ketawa boleh mematikan hati.” 

Pada hemat saya, riwayat sebegini – sekiranya dinilai sahih – hendaklah difahami dalam erti gurauan yang tidak menyakitkan hati, melalaikan dari tugas utama kerana Nabi pun ketawa apabila mendengar ucapan atau melihat keadaan yang lucu. Firman Allah SWT mengenai Nabi Sulaiman yang mendengar suara atau ucapan semut (sebagaimana dalam firman Allah SWT ayat 19 surah an-Naml yang bermaksud): “... maka dia tersenyum tertawa mendengar ucapan semut.” 

Begitu juga banyak riwayat menceritakan Rasulullah SAW pun bergurau. Antaranya iaitu menurut isteri Baginda, Aisyah: “Rasulullah SAW adalah seorang yang selalu senyum dan tertawa.” Bahkan menurut riwayat lain, Baginda ketawa sampai kelihatan gigi geraham (gigi paling belakang) walaupun tidak terbahak dan tidak mengucapkan kecuali yang benar. 

Suatu hari, seorang wanita tua datang kepada Baginda memohon didoakan masuk syurga, maka Baginda bersabda: “Syurga tidak dimasuki wanita tua”. Wanita itu mengeluh kecewa. Ketika itu juga Rasulullah SAW tersenyum dan membacakan firman Allah SWT pada ayat 35 hingga 38 surah al-Waqiah (yang bermaksud): 

“Sesungguhnya Kami jadikan isteri mereka dengan secara langsung. Kami jadikan mereka gadis perawan, mencintai sepenuhnya (jodohnya) lagi sebaya umurnya untuk kelompok kanan (penghuni syurga).” Pada waktu yang lain, datang seseorang yang berkata kepada Baginda SAW: “Suami saya mengundang Tuan ke rumah kami.” Nabi SAW pun menjawab: “Apakah di matanya ada sesuatu yang putih.” Si isteri menafikan, tetapi Nabi SAW berkeras dan mengulangi ucapan Baginda. 

Bahkan dalam riwayat lain menyatakan Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud): “Segera melihat suamimu kerana pada kedua matanya ada sesuatu yang putih.” Lalu si isteri menemui suaminya dan si suami menenangkan isterinya dengan berkata: “Memang ada putih di mata saya tetapi bukan penyakit. Tenanglah wahai isteriku.” Hakikatnya, semua orang ada putih pada matanya. 

Aisyah bercerita: “Pada suatu ketika, saya memasak makanan dan memberikan kepada Rasulullah SAW yang ketika itu berada bersama isteri Baginda iaitu Saudah. Saya mengharap Saudah juga makan bersama tetapi dia tidak mahu kerana tidak sesuai dengan seleranya. Saya pun berkeras sambil berkata, demi Allah! Awak kena makan, kalau tidak saya akan kotorkan muka kamu dengan makanan ini. 

Oleh kerana Saudah tetap berkeras tidak mahu makan, saya pun mengambil sebahagian makanan dan menempel pada muka Saudah. Saudah pun melakukan perkara yang sama ke muka saya sambil ketawa. Rasulullah yang menyaksikan kejadian itu juga ketawa.” Demikianlah beberapa kisah gurauan Rasulullah SAW. Wallahua’lam. 

Sebarang kemusykilan sila hantarkan soalan ringkas menerusi e-mel bminggu@bharian.com.my atau melalui pos di alamat Berita Harian, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100, Kuala Lumpur. 


Article:jariyangmenari.blogspot.com

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Grants For Single Moms